Rabu, 19 Julai 2017 | 12:02am
PEMAIN Kelantan, Abou Bakr Al Mel dihalang pemain pertahanan Kedah, Zachary Michael Anderson (tengah) pada aksi perlawanan Piala Malaysia dalam Kumpulan C di Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV) Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi

Kelantan tunjuk taring sebenar benam Kedah

KOTA BHARU: Kelantan bangkit daripada prestasi hambar dengan bergaya apabila menewaskan juara bertahan, Kedah 3-1 dalam aksi Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, malam ini.

Kemenangan itu menyaksikan skuad The Red Warriors (TRW) menyalakan peluang untuk layak ke suku akhir apabila berkongsi enam mata dengan Kedah dan Melaka United (MU) yang menewaskan UiTM FC 2-1 dalam satu lagi pertembungan kumpulan di Melaka.

Bagaimanapun, TRW kekal kedudukan ketiga di belakang Kedah dan MU kerana perbezaan jaringan.

Prestasi hambar dalam empat perlawanan terakhir jelas memberi kesan kepada kehadiran penonton, tetapi ia tidak melemahkan semangat pemain Kelantan yang sudah mengasak pelawat menerusi percubaan Abou Bakr Al Mel pada minit kedua dan kelima namun tersasar.

Kedah membalas menerusi gerakan Ken Ilso Larsen yang bergandingan dengan Sandro De Silva namun penjaga gol Kelantan, Mohamad Ramadhan Abdul Hamid lebih bersedia sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan gagal memecahkan kebuntuan pada babak pertama.

Bermula babak kedua, Kedah terlebih dahulu mengasak kubu tuan rumah dengan dua percubaan daripada Baddrol Bakhtiar pada minit ke-48 dan 51 tetapi ditangkap kemas Mohamad Ramadhan.

Bagaimanapun, Kelantan membuat kejutan dengan gol pembukaan pada minit ke-54 melalui pemain import dari Gambia, Margaro Lima Gomis yang melakukan sepakan deras menewaskan Farhan Abu Bakar.

Abou Bakr kemudian menambah gol kedua pada minit ke-65 sebelum Liridon Krasniqi membangkitkan semangat Kedah apabila merapatkan jurang gol lima minit sebelum tamat apabila menyempurnakan sepakan penalti selepas bola terkena tangan Mohammad Qayyum Marjoni Sabil.

Bagaimanapun, harapan Kedah untuk menyamakan kedudukan berkecai apabila Abou Bakr menyumbat gol ketiga dengan melakukan larian solo yang melepasi dua pertahanan pelawat pada minit ke-90.

Berita Harian X