Rabu, 19 Julai 2017 | 8:36am
PENGURUS Chelsea, Antonio Conte.

Conte sambung kontrak bimbing Chelsea

LONDON: Pengurus Chelsea, Antonio Conte, menandatangani kontrak baharu untuk kekal membimbing kelab gergasi Liga Perdana Inggeris.

Berita itu sekali gus menafikan dakwaan pengendali berkenaan akan meninggalkan Stamford Bridge.

Pengesahan itu dilakukan sendiri oleh Conte, yang membantu Chelsea menjuarai liga musim lalu dan kini dalam persiapan bagi membawa anak buahnya melakukan siri jelajah pramusim di Asia.

"Saya sangat gembira apabila menandatangani kontrak baharu dengan Chelsea.

"Kami bekerja keras dalam tahun pertama bagi mencapai sesuatu yang luar biasa dan itu membuatkan saya bangga.

"Kini, kami perlu bekerja lebih keras untuk kekal berada di atas," kata Conte menerusi kenyataan di laman web rasmi Chelsea.

Bagaimanapun, tiada pendedahan dibuat berhubung terma perjanjian dan nilai sebenar kontrak berkenaan.

Laporan media Inggeris menyebut, kontrak baharu itu adalah bagi melengkapkan terma baki dua tahun kontrak terdahulu selama tiga tahun yang ditandatangani Conte ketika mula menyertai Chelsea tahun lalu.

Sementara itu, Pengarah Chelsea, Marina Granovskaia, berkata kontrak berkenaan adalah ganjaran terhadap kejayaan luar biasa Chelsea di bawah kendalian Conte.

"Kontrak ini membuktikan yang kami percaya dia mampu menghasilkan keputusan yang baik di peringkat domestik, selain kembalinya kami dalam saingan Liga Juara-Juara," katanya. - AFP

1125 dibaca
Berita Harian X