Rabu, 26 Julai 2017 | 1:32am
MATS Hummels dan rakan sepasukannya membawa sepanduk selepas pertandingan Piala Juara-Juara Antarabangsa 2017 antara Chelsea FC dan FC Bayern Munich di Stadium Nasional di Singapura. - Foto Reuters

Bayern ratah Chelsea di Singapura

SINGAPURA: Pemain termahal Chelsea, Alvaro Morata, membuat penampilan pertama bersama juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, namun ditenggelamkan oleh Thomas Muller, yang meledak dua gol untuk membantu Bayern Munich menang 3-2 ke atas The Blues.

Penyerang Sepanyol itu menyertai Chelsea daripada Real Madrid dengan nilai perpindahan dilaporkan mencecah 80 juta Euro (RM399 juta) minggu lalu dan masuk ke padang selaku pemain gantian ketika perlawanan berbaki 30 minit.

Namun, Muller lebih menyerlah pada aksi persahabatan itu ketika masa depannya bersama pasukan itu menjadi tanda tanya susulan kemasukan James Rodriguez secara pinjaman.

Beraksi di hadapan lebih 48,000 penyokong, juara Bundesliga itu sekadar memerlukan enam minit untuk mendahului menerusi percubaan jarak jauh pertahanan Brazil, Rafinha menewaskan penjaga gol Chelsea, Thibaut Courtois.

Hantaran lambung Franck Ribery disambut Muller yang mudah melakukan voli membolehkan Bayern Munich melebarkan jurang, sebelum Muller sekali lagi meledak untuk gol ketiga pada minit ke-30.

Chelsea mengurangkan defisit pada masa tambahan separuh masa pertama apabila hantaran lintang Victor Moses disambut Marcos Alonso, yang kemudiannya melakukan rembatan untuk menewaskan penjaga gol Bayern Munich, Tom Starke.

Morata yang dimasukkan selaku pemain gantian pada babak kedua menolak hantaran daripada sepakan sudut untuk disudahkan oleh Michy Batshuayi, sekali gus menjadikan kedudukan 3-2 pada minit ke-86.

Perlawanan itu adalah sebahagian daripada aksi Piala Juara Antarabangsa (ICC) yang menemukan pasukan ternama dari Eropah. - AFP

13491 dibaca
Berita Harian X