Rabu, 26 Julai 2017 | 7:37am
ANGEL Maria Villar. - Foto AFP

Presiden RFEF digantung setahun kes rasuah

MADRID: Presiden Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF), Angel Maria Villar digantung tugas selama setahun selepas ditahan minggu lalu bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah, umum badan induk itu, pagi tadi.

Keputusan sebulat suara itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga dan mungkin menjadi sebaliknya, bergantung kepada perkembangan semasa siasatan kes.

Villar, bekas pemain Athletic Bilbao mengetuai RFEF semalam 29 tahun dan turut menyandang jawatan Naib Presiden, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan UEFA.

Beliau ditahan bersama anaknya, Gorka serta dua eksekutif badan induk itu pada 18 Julai lalu atas tuduhan menyeleweng serta memalsukan dokumen, namun Villar menafikan semua pertuduhan itu.

Khamis lalu, hakim mengarahkan supaya Villar ditahan. Pada masa sama, Juan Padron - antara seorang eksekutif badan induk itu yang ditahan turut digantung tugas.

Sejak 2015, berbelas pegawai utama badan induk bola sepak terutama dari Amerika Latin didakwa di Amerika Syarikat berhubung dakwaan rasuah.

Beberapa daripada mereka mengaku bersalah dan sedang menunggu hukuman manakala bakinya tidak mengaku bersalah dan menunggu perbicaraan.

Bahkan, bekas presiden FIFA, Sepp Blatter juga dikenakan hukuman gantung enam tahun manakala bekas Presiden UEFA, Michel Platini pula dihukum empat tahun oleh Jawatankuasa Etika FIFA.

Setakat ini, FIFA dan RFEF tidak memberikan sebarang komen berhubung situasi terkini berkaitan Villar.

- Reuters

332 dibaca
Berita Harian X