Khamis, 27 Julai 2017 | 12:09am
PEMAIN Kedah, Baddrol Bakhtiar menanduk bola sambil diasak pemain Kelantan, Mohd Farisham Ismail (dua dari kiri) pada perlawanan Liga Super 2017 di Stadium Darul Aman malam tadi. - Foto BERNAMA
PEMAIN Kedah bergambar bersama selepas Sandro Da Silva (dua, kanan) berjaya menjaringkan gol pada perlawanan Liga Super 2017 antara Kedah menentang Kelantan di Stadium Darul Aman malam tadi. - Foto BERNAMA

Kedah kenduri gol belasah Kelantan

ALOR SETAR: Kedah beraksi garang apabila membelasah Kelantan 5-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, malam ini.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Nidzam Adzha Yusoff mengukuhkan kedudukan di tempat kedua dengan mengumpul 34 mata dan menghidupkan sisa-sisa peluang mengejar pendahulu Johor Darul Ta'zim (JDT).

Pertahanan kiri Ariff Farhan memulakan kenduri Kedah apabila menyumbat gol pertama menewaskan penjaga gol Kelantan, Shahrizan Ismail dengan menyudahkan lorongan Liridon Krasniqi pada minit ketujuh.

Kedah terus mengasak kubu pelawat melalui percubaan pemain tengah Sandro Da Silva pada minit ke-16 namun tersasar dan selang tiga minit pemain sayap kiri Syazwan Zainon hampir menemui gawang tetapi tampanan sedikit tersasar atas palang gol.

Bermula aksi babak kedua, Larsen tidak menunggu lama menghasilkan gol kedua Kedah apabila rembatannya dari bahagian tengah pada minit ke-47 menewaskan Shahrizan.

Larsen sekali lagi mempamerkan ketajaman apabila menyumbat gol ketiga apabila menyudahkan hantaran pemain gantian Fitri Omar pada minit ke-60 dengan Kelantan cuba bangkit tetapi percubaan Mamadou Danso pada minit ke-69 tersasar.

Sandro terus menambah derita Kelantan dengan menghasilkan gol keempat Kedah pada minit ke-70 hasil hantaran Larsen.

Kelantan mendapat peluang terbaik merobek gawang Kedah tetapi sepakan percuma Indra Putra Mahayuddin terkena palang gol pada minit ke-80 sebelum Sandro melengkapkan kemenangan bergaya Kedah dengan gol kelima, empat minit sebelum aksi tamat.

Berita Harian X