Khamis, 27 Julai 2017 | 3:10pm
PEMAIN Real Madrid, Gareth Bale (kanan) bersaing dengan pemain Manchester City, Nicolas Otamendi dalam aksi Piala Juara-Juara Antarabangsa di Los Angeles. - Foto EPA
PEMAIN Real Madrid, Gareth Bale (kanan) bersaing dengan pemain Manchester City, Nicolas Otamendi dalam aksi Piala Juara-Juara Antarabangsa di Los Angeles. - Foto EPA
PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola. - Foto Reuters
PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola. - Foto Reuters

Man City 'ajar' Real Madrid

LOS ANGELES: Pep Guardiola yang berbelanja besar mengukuhkan jentera pertahanan Manchester City mencatat kemenangan besar 4-1 ke atas juara Eropah, Real Madrid pada aksi Piala Juara-Juara Antarabangsa, sebentar tadi.

Prestasi separuh masa kedua yang menakjubkan di depan lebih 93,000 peminat di Coliseum Memorial menyaksikan City mengesahkan kemenangan pertama dalam kempen pra-musim depan dengan penuh bergaya.

Real jelas gagal untuk mengekang pergerakan skuad bimbingan Guardiola sejurus kelab Inggeris itu mendahului di awal babak kedua menerusi jaringan Nicolas Otamendi pada minit ke-52.

Sekali pun tampil lebih berbahaya pada babak kedua dengan cubaan Isco, Karim Benzema dan Casemiro, penjaga gol baharu City Ederson tampil cemerlang untuk memastikan gawangnya tidak bolos.

Tujuh minit selepas jaringan Otamendi, City meledak gol kedua menerusi pemain gantian Raheem Sterling yang memanfaat sepenuhnya hantaran Kevin De Bruyne.

Kelebihan itu kemudian ditambah Stones dengan menjaringkan gol ketiga pada minit ke-67 berpunca sepakan sudut De Bruyne.

Selepas dua kali dinafikan palang, City memperoleh gol keempat ketika permainan berbaki 10 minit daripada pemain berusia 17 tahun dari Sepanyol, Brahim Diaz.

Real memperoleh gol sagu hati apabila rembatan jarak jauh Oscar Rodriguez berjaya menewaskan Ederson pada minit ke-90.

City sejak 12 bulan lalu membelanjakan lebih STG50 juta pound (RM280.87 juta) seorang bagi mendapatkan Kyle Walker, John Stones dan Benjamin Mendy.

AFP

Berita Harian X