Jumaat, 28 Julai 2017 | 6:09pm
PEMAIN Import Kedah, Ken Ilso Larsen (kanan) diasak pemain Kelantan, Norhafiz Zamani Misbah dalam saigan Liga Super di Stadium Darul Aman. - Foto Sharul Hafiz Zam
PEMAIN Import Kedah, Ken Ilso Larsen (kanan) diasak pemain Kelantan, Norhafiz Zamani Misbah dalam saigan Liga Super di Stadium Darul Aman. - Foto Sharul Hafiz Zam

Ilso ketepi isu penat temu MU

KUALA LUMPUR: Penyerang import Kedah, Ken Ilso Larsen, kini menjadi taruhan terbaik skuad Helang Merah untuk memburu tiga mata menentang Melaka United (MU) pada saingan Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, esok.

Penyerang kelahiran Denmark ini yang meledak dua gol ketika menentang Kelantan pada saingan Liga Super Rabu lalu bakal menjadi senjata utama serta pertaruhan terbaik Kedah untuk mengharungi saingan Kumpulan C, Piala Malaysia.

Ken Ilso mengakui aksi kebangkitan yang ditunjukkan Kedah dalam dua perlawanan Liga Super sebelum ini menjadi pemangkin kepadanya untuk meneruskan perjuangan memburu kemenangan dalam saingan Piala Malaysia.

"Kita harus kekalkan rentak dan momentum seperti yang dipamerkan dalam dua perlawanan lalu.

"Dua gol yang saya hasilkan ketika menentang Kelantan membangkitkan lagi semangat untuk meneruskan persembahan terbaik," katanya.

Mengakui pasukan Kedah juga dilanda isu kepenatan akibat jadual perlawanan padat - sembilan aksi sepanjang Julai, Ken Ilso menganggapnya sebagai satu cabaran yang harus dipikul sebagai penjaring utama.

"Saya perlu kekal fokus dan membuktikan ketajaman sentuhan penyudah dalam setiap perlawanan.

"Walaupun kita menempuhi jadual yang padat, namun saya yakin kami kini lebih bersedia dan berharap semua pemain dapat meneruskan rentak permainan terbaik.

Ken Ilso juga dilihat semakin berbisa beraksi apabila persefahaman bersama dua lagi pemain import Kedah iaitu Liridon Krasniqi dan Sandro Da Silva dilihat semakin 'menjadi' dalam jentera serangan Kedah.

Berdasarkan rekod, Ken Ilso yang juga penjaring terbanyak Kedah setakat ini mengumpul jumlah keseluruhan 19 gol iaitu 13 gol dalam aksi Liga Super, lima gol dalam Piala FA dan satu gol dalam Piala Malaysia yang sedang berlangsung.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X