Selasa, 1 Ogos 2017 | 11:45pm
PEMAIN T-Team, Dilshod Sharofetdinov (tengah) diasak pemain Negeri Sembilan, Mohamad Izzudin Zainudin (kanan) pada aksi Piala Malaysia 2017 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

T-Team kembali bernyawa

KUALA TERENGGANU: T-Team kembali menghidupkan peluang untuk merebut slot ke suku akhir apabila membenam Negeri Sembilan 4-1 dalam aksi Kumpulan A, kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Skuad The Titans bermula garang apabila mengasak kubu pertahanan Negeri Sembilan sejak awal perlawanan dan melakukan percubaan pertama menerusi Ahmad Takhiyuddin Roslan, namun bola rembatannya tepat ke dakapan penjaga gol, Saiful Amar Sudar.

Negeri Sembilan yang turun tanpa kelibat pemain import bangkit dengan percubaan bahaya menerusi Mohamad Izzudin Zainudin tetapi berjaya diselamatkan Mohd Hafidz Romly pada minit ke-11.

Pada minit 24, Mohd Asrol Ibrahim meletakkan tuan rumah di depan apabila melepaskan rembatan kencang di dalam kotak penalti untuk menewaskan Saiful Amar.

Pelawat berpeluang menyamakan kedudukan, namun sepakan penalti yang disempurnakan Mohd Izzudin berjaya ditepis keluar Mohd Hafidz minit ke-34.

Ketika lawan cuba mencari gol penyamaan, pemain pertahanan T-Team, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris mencuri tumpuan apabila meledak gol kedua tuan rumah hasil sepakan penjuru yang diambil Muhammad Fakhrurazi Musa pada minit ke-39.

Pelawat sekali hampa apabila rembatan Muhammad Nizam Mohd Ruslan singgah dipalang gol T-Team disusuli rembatan Mohamad Izzudin yang diselamatkan Mohd Hafidz seminit sebelum babak pertama tamat.

Bersambung di babak kedua, anak buah Rahmad Darmawan melebarkan kedudukan 3-0 hasil jaringan Dilshod Sharofetdinov menerusi sepakan percuma pada minit ke-49.

Pada minit 78, Muhammad Nizam berjaya menolak masuk bola hantaran Sean Eugene Selvaraj untuk gol sagu hati Negeri Sembilan, namun Muhammad Fakhrurazi Musa mengesahkan kemenangan pertama T-Team apabila menjaringkan gol keempat pasukan, dua minit selepas itu.

Menerusi kemenangan itu, T-Team kini berkongsi lima mata dengan Negeri Sembilan manakala Pahang merampas kedudukan tangga kedua kumpulan A daripada Negeri Sembilan selepas meraih enam mata apabila turut menang besar ke atas PKNP FC.

Ketika ini, PKNP FC sudah pun mengesahkan slot ke suku akhir selaku pendahulu kumpulan A dan pasukan kedua yang bakal mengiringi PKNP FC akan ditentukan pada perlawanan terakhir pada September ini.

T-Team, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing masih berpeluang untuk layak apabila hanya dibezakan satu mata selepas mengharungi lima perlawanan.

Berita Harian X