Jumaat, 4 Ogos 2017 | 7:53pm
AKSI Muhammad Nor Azam (kanan) ketika menentang PKNP FC di Stadium Darul Makmur. - Foto Zulkifli Osman

KL2017: Nor Azam sedia balas kepercayaan Kim Swee

KUALA LUMPUR: Pemain tengah Pahang, Nor Azam Abdul Azih sedia membalas kepercayaan Datuk Ong Kim Swee yang memberinya peluang merebut tempat dalam skuad bawah 22 tahun negara (B-22) ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Azam, 22, berkata, dia tidak menyangka apabila namanya berada dalam senarai 27 pemain bagi menjalani kem latihan pusat bermula Ahad ini meskipun dipalit kontroversi kerana tidak bersama pasukan ketika saingan kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok bulan lalu.

"Sebelum ini saya tidak dapat pergi ke Bangkok sebab tidak mendapat pelepasan pasukan Pahang. Jadi peluang yang saya dapat kali ini akan digunakan sebaik-baiknya.

"Saya difahamkan tidak ada masalah untuk saya bersama skuad bawah 22 tahun kerana perlawanan liga dihentikan ketika Sukan SEA ini.

''Memang saya mahu mendapat tempat ke Sukan SEA sebab dua tahun lalu di Singapura, saya digugurkan pada saat akhir. Ketika itu saya akui kurang berpengalaman jadi saya rasa sekarang sudah lebih bersedia,'' katanya.

Akhbar Harian Metro semalam melaporkan mengenai keputusan Kim Swee memanggil semula enam pemain yang mencetuskan kontroversi apabila tidak dibenarkan menyertai skuad muda negara ke Bangkok bagi aksi kelayakan.

Selain Azam, turut mendapat kepercayaan Kim Swee adalah Safawi Rasid dan Haziq Nadzli dari Johor Darul Ta'zim (Johor DT), Matthew Davies (Pahang), Syamer Kutty Abba dan S Kumaahran (Pulau Pinang).

Bagi penyerang Kumaahran, 21, peluang yang diberikan itu bukan tiket automatik untuk dia berada dalam skuad utama.

''Memang selepas tidak bersama pasukan sebelum ini, saya fikir peluang untuk ke Sukan SEA adalah 50-50. Tapi bukan saya tidak mahu pergi ketika itu tapi pasukan yang tak lepaskan kerana jadual liga padat.

''Saya kena tunjukkan kesungguhan dan kemampuan dalam padang kerana saingan merebut tempat agak sengit terutama di posisi serangan, ramai pemain yang bagus ketika beraksi di Bangkok,'' katanya.

900 dibaca
Berita Harian X