Sabtu, 5 Ogos 2017 | 12:48am
PEMAIN termahal dunia, Neymar. - Foto AFP

Sertai PSG, keputusan paling sukar: Neymar

PARIS: Neymar berkata menyertai Paris Saint-Germain (PSG) dengan rekod perpindahan dunia sebagai `satu daripada keputusan paling sukar' yang diambilnya tatkala bersedia menempuh cabaran baharu bersama kelab baharunya.

"Di Barcelona, saya dapat menyesuaikan diri dengan baik bersama pasukan dan bandarayanya. Saya memiliki rakan di sana dan ia bukanlah perkara mudah," akui bintang Brazil berusia 25 tahun pada sidang media di Parc des Princes, di sini, hari ini.

"Ketika itu suasananya sangat tertekan. Saya berfikir apa yang sepatutnya saya lakukan dalam hidup. Saya meninggalkan ramai rakan-rakan, namun ia berlaku dengan pantas dalam bola sepak.

"Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan sepasukan di Barca atas persahabatan yang terjalin. Saya sangat gembira berada di sana sepanjang empat tahun, namun saya berasakan sudah tiba masanya untuk meneruskan kehidupan," katanya.

Semalam, Neymar melengkapkan perpindahan paling mengejutkan dalam dunia bola sepak.

Dia mengikat kontrak selama lima tahun dengan PSG selepas berpindah dari Barcelona membabitkan pembelian dengan rekod dunia, bernilai 222 juta Euro (RM1.128 bilion).

Berita Harian X