Sabtu, 5 Ogos 2017 | 7:28am
Jersi baharu penyerang Brazil Neymar Jr dijual di pejabat rasmi Paris Saint-Germain (PSG), Perancis. - Foto EPA

PSG jual 10,000 jersi Neymar pada hari pertama

PARIS: Neymar mula membayar yuran perpindahannya yang tinggi pada hari pertama diperkenalkan dan menandatangani kontrak bersama Paris Saint-Germain (PSG) apabila kelab gergasi Perancis itu menjual 10,000 jersi yang mempunyai namanya.

Pemain kelahiran Brazil berusia 25 tahun itu berpindah dari Barcelona dengan rekod dunia 222 juta Euro (RM1.128 bilion).


Neymar mempamerkan jersi barunya di stadium Parc des Princes Paris. - Foto AFP

Jersi yang tertulis nama dan nombor 10 di belakang dijual pada harga purata 100 Euro (RM503.64), sekali gus membolehkan PSG menjana pendapatan 1 juta Euro (RM5.04 juta) pada hari pertama.

Jika PSG dapat mengekalkan jualan itu, mereka boleh menampung bayaran perpindahan pemain itu pada pertengahan Mac, dalam musim pertama perjanjian lima tahun Neymar - walaupun secara hakikatnya pendapatan itu dikongsi dengan pengeluar baju Nike.

Itu bermakna ia mengambil masa dua kali lebih lama untuk memperoleh semula dana yang dikeluarkan.

Permintaan jersi itu di sebuah kedai PSG di Champs Elysees dan cawangannya di Parc des Princes dihadkan kepada sehelai untuk setiap pembeli.

Neymar dijangka diperkenalkan kepada peminat PSG di padang Parc des Princes hari ini menjelang perlawanan pembukaan Ligue 1 bertemu Amiens. - AFP

Berita Harian X