Sabtu, 5 Ogos 2017 | 9:04am

Neymar gigit jari

PARIS: Pemain termahal dunia, Neymar, perlu menunggu untuk membuat penampilan sulung bersama Paris Saint-Germain (PSG) selepas Sijil Perpindahan Antarabangsa (CIT) gagal diserahkan kepada penganjur Liga Perancis sebelum tengah malam tadi.

Neymar, yang ditandatangani dari Barcelona dengan 222 juta euro (RM1.128 bilion), berharap untuk diturunkan dalam aksi pembukaan Ligue 1 berdepan Amiens, malam ini.


Neymar (kanan) bersalaman dengan Presiden Paris Saint -Germain (PSG), Nasser Al-Khelaifi semasa sidang akhbar di stadium Parc des Princes Paris. - Foto AFP

Bagaimanapun, Liga Perancis (FLP) tidak menerima sebarang dokumen sehingga tengah malam tadi, sekali gus bermakna dia hanya akan menjadi penonton dalam aksi di Parc des Princes itu.

Dalam pada itu, bintang Brazil berusia 25 tahun itu mengakui meninggalkan Barcelona bukan kerana wang tetapi mahukan cabaran lebih besar di Perancis.

"Saya mahukan cabaran yang lebih besar, saya berjanji akan memberikan yang terbaik di sini dan membantu kelab menjulang trofi," kata Neymar.

Neymar tiba ke kota Paris dengan perjanjian ikatan kontrak selama lima tahun yang dianggarkan bernilai 30 juta euro (RM151 juta) setahun. - AFP

Berita Harian X