Ahad, 6 Ogos 2017 | 9:30am
BINTANG Brazil, Neymar yang menerima sambutan wira daripada penyokong Paris Saint-Germain (PSG) berazam membantu gergasi Perancis itu meraih lebih banyak trofi susulan perpindahan rekod dunianya. - Foto AFP

Neymar diberi sambutan wira

PARIS: Bintang Brazil, Neymar yang menerima sambutan wira daripada penyokong Paris Saint-Germain (PSG) berazam membantu gergasi Perancis itu meraih lebih banyak trofi susulan perpindahan rekod dunianya.

Pemain berusia 25 tahun itu diperkenalkan kepada penyokong kelab di Stadium Parc des Princes sebelum pasukan meraih kemenangan 2-0 ke atas Amiens dalam aksi pertama musim baharu Ligue 1, awal pagi tadi.

"Terima kasih! Saya sangat gembira, saya gembira berada di sini bagi menghadapi cabaran baharu ini," kata Neymar dengan namanya dilaungkan oleh penyokong.

"Saya mahu meraih lebih banyak trofi bersama kamu dan saya perlu sokongan anda untuk memenangi trofi," tambah bekas bintang Barcelona dan Santos itu.

"Paris ajaib!," katanya dalam bahasa Perancis sebelum melaungkan motto kelab: "Ici, c'est Paris!" - Di sini, ia adalah Paris.

Harapan untuk menyaksikan kapten Brazil itu membuat kemunculan pertama bersama kelab tidak kesampaian apabila sijil perpindahan antarabangsa belum siap sekali gus dia hanya mampu melihat aksi rakan pasukan baharunya itu dari tempat duduk penonton.

PSG sudah menjual lebih 10,000 jersi dengan nama Neymar dan nombor 10 tertera di belakangnya sejak Jumaat lalu yang membawa keuntungan sekitar satu juta euro (RM5.04 juta). - AFP

Berita Harian X