Rabu, 9 Ogos 2017 | 6:07pm
JURULATIH skuad bawah 22 negara, Datuk Ong Kim Swee (kiri) ketika sesi latihan persiapan menghadapi KL2017 di Padang Latihan Sime Darby, Bukit Jelutong. - Foto Luqman Hakim Zubir

Elak terlampau yakin sebagai tuan rumah: Kim Swee

KUALA LUMPUR: Pengendali skuad bola sepak Bawah 22 Tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee tidak mahu anak buahnya terlampau yakin dengan kelebihan sebagai tuan rumah menjelang temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Walaupun pasukan tuan rumah sering dianggap mempunyai kelebihan berbanding pasukan lain, pada masa sama harapan tinggi turut disandarkan oleh penyokong tempatan.

Malaysia yang diletakkan sasaran meraih emas acara bola sepak pada temasya itu, akan merasakan tekanannya apabila kempen Sukan SEA bermula di Stadium Shah Alam, Selangor minggu depan.

"Kita tidak boleh terlampau yakin. Saya sudah mengingatkan pemain untuk tidak memandang ringan, walaupun Brunei dan Laos, kerana kedua-duanya menunjukkan peningkatan sejak kebelakangan ini," kata Kim Swee.

"Kita tampil dengan harapan tinggi terutama selepas layak ke Kejuaraan AFC Bawah 23. Jika kita tidak berjaya ke separuh akhir Sukan SEA, ia menunjukkan yang kita tidak konsisten.

"Apa yang penting ialah pemain perlu mengambil serius dan mengikut perancangan bagi setiap perlawanan," katanya.

Skuad muda negara akan membuka kempen Kumpulan A menentang Brunei Isnin ini, diikuti Singapura (16 Ogos), Myanmar (21 Ogos) dan Laos (23 Ogos).

Semua perlawanan berlangsung pada jam 8.45 malam di Stadium Shah Alam.

Berdasarkan rekod sebelum ini, dua tuan rumah terakhir (Myanmar 2013 dan Singapura 2015) gagal mara ke peringkat separuh akhir.

Thailand satu-satunya pasukan tuan rumah yang berjaya memenangi emas ketika menganjurkan temasya berkenaan pada edisi 2007.

Kim Swee perlu menyenaraikan skuad 20 pemainnya untuk temasya itu pada Sabtu ini yang bakal menyaksikan lapan pemain yang dipanggil menyertai kem latihan akan digugurkan.

"Skuad ini mempunyai kualiti. Jadual Sukan SEA kali ini tidak terlalu padat seperti edisi sebelumnya. Faktor kecergasan akan menjadi kunci utama kerana pemain akan bermain enam perlawanan jika kita berjaya mara ke final.

"Sasarannya ialah mempunyai pilihan dalam skuad. Saya mempunyai beberapa pemain di bawah program khusus untuk mencapai semula kecergasan dan mengatasi keletihan," kata Kim Swee.

Dua penyerang, S Kumaahran dan N Thanabalan mengalami kecederaan hamstring serta lutut, dan situasi mereka akan dinilai hari ini.

Namun berita baik buat Kim Swee apabila pemain Kedah, Amirul Hisyam Awang Kechik dan Ariff Farhan Isa, pemain Perak, Ahmad Khairil Anuar Zamri serta Syamer Kutty Abba dari Pulau Pinang sudah menyertai latihan semalam selepas pulih daripada kecederaan.

Berita Harian X