Khamis, 10 Ogos 2017 | 10:24pm
KETUA jurulatih B22, Datuk Ong Kim Swee (tengah) . - Foto Osman Adnan.

Kurang perlawanan tak jejas kemampuan pemain - Kim Swee

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad bawah 22 tahun negara (B-22) Datuk Ong Kim Swee tidak bimbang dengan kemampuan anak buahnya meskipun tidak dapat menilai prestasi dalam sebarang aksi persahabatan menjelang saingan Sukan SEA.

Beliau berkata, kekangan masa dan masalah mengatur perlawanan dengan pasukan tempatan menjadi faktor pasukannya hanya menjalani latihan biasa sebelum pertemuan pertama Kumpulan A dengan Brunei di Stadium Shah Alam, Isnin ini.

"Oleh kerana jurang masa dan pasukan negeri dan kelab memberi rehat kepada pemain mereka ketika ini, sudah tentu sukar untuk saya mendapatkan perlawanan persahabatan.

"Tapi saya percaya dari satu perlawanan ke satu perlawanan bermula dengan pertemuan dengan Brunei, kita akan bertambah baik," katanya.

Kim Swee meneruskan sesi latihan pusat yang bermula Ahad lalu membabitkan 28 pemain dan akan mengumumkan senarai akhir 20 pemain esok.

Skuad muda negara bakal memulakan kempen Kumpulan A dengan menentang Brunei yang dianggap cukup penting buat bekas pengendali kebangsaan itu.

"Penting untuk kita tidak memandang rendah keupayaan Brunei, yang mustahak kita perlu meraih tiga mata untuk beri kita motivasi meneruskan cabaran di peringkat kumpulan sebelum kita memikirkan ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Selain Brunei, Malaysia turut akan bersaing dengan Singapura, Myanmar dan Laos dalam kempen Kumpulan A.

584 dibaca
Berita Harian X