Jumaat, 11 Ogos 2017 | 7:44pm
DATUK Ong Kim Swee (kanan) bersama Syahmi Safari pada sesi latihan di padang latihan Sime Darby FC, Bukit Jelutong. - Foto Osman Adnan
DATUK Ong Kim Swee (kanan) bersama Syahmi Safari pada sesi latihan di padang latihan Sime Darby FC, Bukit Jelutong. - Foto Osman Adnan

Kim Swee harap 'ego' pemain

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad bawah 22 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee mengharapkan 'ego' pemain-pemainnya menjadi pendorong dalam memburu ibu emas di Sukan SEA kali ini.

Namun 'ego' dimaksudkan Kim Swee bukanlah sikap bongkak dan sombong yang melampau, sebaliknya rasa yakin diri dan semangat juang di atas padang yang mampu meletakkan mereka setaraf atau lebih baik berbanding pasukan lain.

"Ada dua jenis ego, salah satu ialah daripada segi personaliti mereka di dalam padang. Ini adalah tanda positif," kata Kim Swee yang sekali lagi mencipta sejarah bersama skuad muda negara apabila berjaya melayakkan diri ke Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) AFC Bawah 23 di China tahun depan.

"Kalau ego yang terlampau seperti terbawa-bawa dengan kejayaan atau imbuhan, itu tidak baik. Ia adalah petanda yang membawa kepada malapetaka."

Kim Swee berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan kapten pasukan, Adib Zainuddin yang menegaskan dia dan rakan sepasukan tidak akan dibuai dengan kejayaan sebelum ini, apatah lagi imbuhan dan pujian yang menyusul selepas itu.

"Apa yang dikatakan oleh Adib amat baik dan selalu saya tekankan kita tidak boleh mengharapkan imbuhan, bermain kerana imbuhan atau kerana insentif-insentif lain. Setiap kali kita turun beraksi, ia adalah untuk negara.

"Ketika mula-mula mengambil alih pasukan ini, saya lihat sesuatu yang positif dalam diri setiap pemain di mana mereka mempunyai semangat juang tinggi untuk mendapatkan kejayaan.

"Setiap seorang daripada mereka jujur, bersungguh-sungguh dan sentiasa memberikan yang terbaik dalam latihan dan perlawanan. Saya yakin tidak timbul masalah mereka akan hanyut dibuai pujian serta imbuhan."

Bagaimanapun sikap positif kesemua 28 pemain yang sedang menjalani latihan, menimbulkan masalah lain buat Kim Swee apabila dia terpaksa mengetepikan lapan daripadanya hari untuk skuad terakhir 20 pemain yang akan bersaing di temasya berkenaan.

"Inilah yang buat saya pening sekarang kerana terpaksa mengeluarkan lapan orang daripada skuad. Pening tetapi pening yang positif," kata Kim Swee yang kini dalam misi memburu ibu emas kedua selepas kejayaan di Jakarta 2011.

"Keutamaan bagaimanapun diberikan kepada pemain yang mempunyai kelebihan bermain di beberapa posisi kerana kita perlu mengharungi enam perlawanan sekiranya mara ke final," katanya.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama-sama Myanmar, Singapura, Laos dan Brunei. Malaysia akan memulakan kempen Sukan SEA Isnin ini, bertemu Brunei Isnin ini, disusuli Singapura (16 Ogos), Myanmar (21 Ogos) dan Laos (23 Ogos).

Kesemua perlawanan membabitkan skuad negara berlangsung di Stadium Shah Alam pada jam 8.45 malam.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X