Jumaat, 11 Ogos 2017 | 10:09pm
SEBAHAGIAN pemain skuad bola sepak bawah 22 tahun Myanmar tiba di balai ketibaan KLIA bagi menghadapi Sukan Sea KL2017 di Kuala Lumpur. - Foto Luqman Hakim Zubir

Skuad Myanmar yakin ke separuh akhir

SEPANG: Pengendali skuad bola sepak bawah 22 tahun Myanmar, Gerd Zeise yakin mereka mampu melepasi halangan Kumpulan A bersama pasukan tuan rumah Malaysia pada saingan Sukan SEA KL2017.

Katanya, pasukan Malaysia kendalian Datuk Ong Kim Swee adalah pencabar terkuat dalam peringkat awal namun mereka juga harus berwaspada dengan ancaman Singapura, Brunei dan Laos.

"Kami tidak boleh mengambil mudah pasukan lawan, Malaysia pasukan yang kuat, Singapura OK, kami ada bertemu dengan mereka sebelum ini (menang 2-0 kelayakan AFC B-23), Laos pasukan yang semakin meningkat dan Brunei OK, tidak terlalu kuat.

"Saya harap Malaysia dan Myanmar akan layak ke separuh akhir," kata Zeise ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Myanmar antara pasukan pilihan dalam kempen Kumpulan A selepas muncul naib juara dua tahun lalu di Singapura apabila tewas kepada Thailand 0-3 pada aksi final.

Bagaimanapun skuad The White Angels itu gagal melepasi kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 bulan lalu serta tewas 0-2 di tangan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam 13 Julai lalu.

Zeise, jurulatih kelahiran Jerman yang turut mengendalikan skuad senior Myanmar bagaimanapun tidak bimbang dengan prestasi anak buahnya.

"Saya membawa pasukan terbaik ke sini meskipun ada beberapa pemain saya mengalami kecederaan. Ketika tewas 0-2 dengan Malaysia, kami tidak bermain dengan baik, keadaan padang juga agak teruk.

"Saya percaya perlawanan Myanmar dan Malaysia pasti menarik kali ini dan saya harap kami dapat melepasi halangan peringkat kumpulan dan mencari tempat ke final," katanya.

Myanmar akan membuka kempen menentang Singapura di Stadium Majlis Perbandaran Selayang Isnin ini.

530 dibaca
Berita Harian X