Sabtu, 12 Ogos 2017 | 12:10am
PEMAIN tengah Liverpool, Philippe Coutinho

Liverpool tegas tak jual Coutinho

LONDON: Liverpool menegaskan bintangnya Philippe Coutinho tidak akan dijual sekali pun timbul laporan gergasi Sepanyol, Barcelona meningkatkan bidaan kepada STG90 juta pound (RM501.22 juta), hari ini.

Kenyataan dikeluarkan Kumpulan Fenway Sports (FSG) iaitu pemilik Liverpool yang berpangkalan di Amerika Syarikat berkata: "Kami ingin memberikan penjelasan membabitkan kedudukan kami mengenai kemungkinan perpindahan Philippe Coutinho.

"Pendirian tetap kelab adalah tiada tawaran untuk Philippe akan dipertimbangkan dan dia akan kekal sebagai anggota kelab bola sepak Liverpool apabila jendela perpindahan musim panas ditutup."

Kenyataan FSG mengukuhkan apa yang dicakapkan oleh pengurus Liverpool, Jurgen Klopp sebelum ini yang menegaskan penyerang dari Brazil itu tidak akan ke mana-mana.

Menjelang pertembungan pembuka tirai Liga Perdana Inggeris bagi musim 2017/18 menentang Watford di laman lawan, esok, pengendali dari Jerman itu berkata: "Saya fikir jika seseorang, dalam kes ini FSG berkata sesuatu seperti itu, ia adalah satu petunjuk yang jelas.

"Saya fikir saya sudah mengatakan ia beberapa kali namun mungkin ia tidak 100 peratus jelas."

Begitupun ketika ditanya sama ada dia ada melakukan perbincangan dengan Coutinho mengenai perkara berkenaan, Klopp berkata: "Saya fikir saya tidak pernah memberitahu kamu apa-apa pun jika saya bercakap dengan pemain saya.

"Usia saya memasuki 50 tahun musim panas ini jadi mungkin saya terlupa saya bercakap perkara seperti itu. Tiada apa yang boleh saya katakan mengenai perkara ini."

Coutinho yang menyertai Liverpool dari Inter Milan dengan nilai STG8.5 juta pound (RM47.34 juta) pada 2013 menandatangani kontrak lanjutan lima tahun di Anfield pada Januari lalu yang tidak memiliki klausa pembelian untuk keluar.

Barcelona mahukan Coutinho untuk menggantikan Neymar yang berpindah ke Paris Saint-Germain awal bulan ini dengan yuran memecah rekod dunia iaitu 222 juta euro (RM1012 bilion). - AFP

1350 dibaca
Berita Harian X