Sabtu, 12 Ogos 2017 | 7:54am
CHELSEA juara musim 2016/17.

Musim baharu EPL lebih hebat, mendebarkan

KOLUM BICARA EPL

BERTEMU semula. Selepas hampir tiga bulan berehat, aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) kembali lagi. Musim 2017/2018 sudah pasti amat dinantikan oleh peminat liga ini di segenap pelusuk dunia termasuk di negara kita.

Rasanya ramai yang tak sabar untuk menyaksikan kembali pasukan kesayangan masing-masing beraksi selepas begitu banyak laporan mengenai persiapan terutama membabitkan perpindahan pemain ternama sejak berakhirnya musim 2016/2017.

Sekali imbas, kejuaraan liga musim lalu menjadi milik Chelsea yang dibimbing Antonio Conte hasil himpunan 93 mata, mengatasi Tottenham Hotspurs di tempat kedua dengan kelebihan tujuh mata.

Tempat ketiga pula milik Manchester City dengan mengumpul 78 mata manakala Liverpool (76 mata), Arsenal (75) dan Manchester United (69) masing-masing di tempat keempat, kelima dan keenam.

Bagaimana ramalan anda akan nasib enam pasukan berkenaan pada musim ini? Bagi penulis, andai melihat kepada persiapan setiap pasukan, kelihatannya perebutan kejuaraan liga sekali lagi bakal berlegar di kalangan mereka saja.

Selain aksi pra musim berkelas tinggi, pembelian pemain enam pasukan ini juga turut menimbulkan gerun pasukan lain. Misalnya, The Blues mengikat bekas penyerang Real Madrid, Alvaro Morata, selain Tiemoue Bakayoko dari Monaco.

City pula yang dibimbing Pep Guardiola berbelanja besar dengan membeli Kyle Walker (Spurs), Danilo (Real Madrid), Bernardo Silva (Monaco) dan Ederson (Benfica) manakala Arsenal mengambil Alexander Lacazette dari Lyon.

Liverpool turut tidak ketinggalan dengan memikat penyerang sensasi Roma, Mohamed Salah, Andrew Robertson (Hull City dan Dominic Solanke (Chelsea) manakala United mengikat Romelu Lukaku (Everton), Nemanja Matic (Chelsea) dan Victor Lindelof (Benfica).

Hanya Spurs belum membuat pembelian setakat ini, namun pasukan ini kekal positif. Pun begitu, dalam beberapa musim lalu, kita tidak boleh nafikan kejutan di awal saingan mungkin akan berlaku sekali gus menukar nasib pasukan terbabit.

Mungkin masih ramai ingat betapa Liverpool mengalami kejutan di awal musim dengan pasukan kerdil seperti Burnley manakala United mencatat jumlah keputusan seri yang luar biasa sehingga merencatkan impian.

Selain enam pasukan gergasi yang diramal mendominasi liga, persaingan musim baharu ini turut menyaksikan kehadiran semula Newcastle United selepas dua musim di Liga Kejuaraan, selain penampilan pertama Brighton dan Huddersfield.

Bagaimana nasib ketiga-tiga pasukan ini yang mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Hull City, Middlesbrough dan Sunderland? Kecuali Newcastle yang dibimbing Rafael Benitez, dua lagi pastinya akan bergelut untuk kekal di EPL.

Bagi minggu pertama, sebanyak 10 perlawanan bakal berlangsung. Perlawanan Arsenal menentang Leicester City di Emirates menjadi aksi pembukaan yang berlangsung awal pagi tadi waktu Malaysia.

Chelsea pula menyambut Burnley yang mungkin ada kejutan, manakala Liverpool berkunjung ke Watford, City bertandang ke Brighton, United menyambut West Ham dan Newcastle menjadi tuan rumah kepada Spurs. Selamat menonton.

Penulis - Amirullah Andi Nur adalah Penolong Pengarang Sukan BH

Ramalan Minggu Pertama:

Watford 0 Liverpool 4

Everton 2 Stoke City 0

Crystal Palace 2 Huddersfield 1

Southampton 2 Swansea City 1

West Brom Bournemouth

Chelsea 4 Burnley 1

Brighton 0 Man City 4

Newcastle 1 Tottenham 1

Man United 2 West Ham 0

Berita Harian X