Ahad, 13 Ogos 2017 | 7:14am
PENYERANG Manchester City, Sergio Aguero (kanan) berjaya menjaringkan pertama ketika menentang Brighton di Stadium Amex, malam tadi. - Foto EPA

City atasi Brighton 2-0

BRIGHTON: Pep Guardiola yakin Manchester City masih belum menunjukkan taring sebenar biarpun aksi pembuka tirai dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) menyaksikan mereka menang 2-0 ke atas Brighton, sebentar tadi.

Guardiola berbelanja lebih STG200 juta (RM1.11 bilion) untuk mengikat pemain baharu tatkala pengendali dari Sepanyol itu berazam untuk memperbaiki rekod tanpa sebarang trofi buat City pada musim pertamanya bersama kelab berkenaan.

Kemenangan City adalah hasil jaringan Sergio Aguero pada minit ke-70 dan jaringan sendiri Lewis Dunk yang muncul lima minit kemudian.

Guardiola berpuashati dengan corak pengendalian permainan dipamerkan anak buahnya yang seterusnya melenyapkan harapan buat pasukan Brighton yang baharu diangkat ke saingan liga.

Namun bekas pengendali Barcelona dan Bayern Munich itu menjangkakan persembahan yang lebih baik daripada pasukannya bakal muncul sebaik saja pemain baharu dibelinya dapat membiasakan diri dengan rentak permainan di EPL.

"Kami mempunyai peluang pada minit pertama. Kami mengawal serangan balas dan kami tidak membenarkan satu pun peluang kepada mereka. Kami akan memperkuatkan lagi corak serangan," kata Guardiola.

"Saya sangat gembira dengan pemain baharu. Saya mahu berterima kasih kepada kamu. Kami mempunyai sekumpulan pemain yang berbakat besar.

"Saya mahu meneruskan dengan apa yang dilakukan dalam tiga perlawanan pra musim lalu. Kami stabil tetapi kami perlu cuba menunjukkan peningkatan. Apa yang penting ialah kami memenangi perlawanan pertama ini." - AFP

Berita Harian X