Ahad, 13 Ogos 2017 | 8:12am
PENJAGA gol Chelsea, Thibaut Courtois gagal menepis keluar tandukan penyerang Burnley, Sam Vokes pada saingan Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, malam tadi. - Foto Reuters/Tony O'Brien

Kad merah punca tewas - Conte

LONDON: Sam Vokes meledak dua gol bagi membantu Burnley menewaskan juara bertahan Chelsea 3-2 di Stamford Bridge dalam perlawanan minggu pertama paling sensasi bagi kempen baharu Liga Perdana Inggeris (EPL), malam tadi.

Chelsea terpaksa akur apabila kapten pasukan, Gary Cahill dan Cesc Fabregas diarah keluar padang dan Burnley jelas memanfaatkan kelebihan itu menerusi jaringan Voke dan Stephen Ward manakala jaringan Alvaro Morata dan David Luiz tampak sia-sia.

Leicester City pernah tewas 1-2 di tangan Hull City pada hari pertama saingan musim lalu selepas mereka meraih gelaran yang sama sekali tidak dijangka dan aksi malam tadi adalah kejutan paling besar pada hari pembukaan saingan liga sejak Manchester United tewas 3-1 kepada Aston Villa pada 1995.

"Ia amat mengecewakan kerana pertarungan kami di babak kedua adalah sangat bagus," kata pengurus Chelsea, Antonio Conte.

"Namun pada babak pertama, kami terlalu bersahaja. Selepas kad merah, kami seperti hilang pertimbangan, melepaskan dua gol dan kemudiannya amat sukar untuk cuba mengubah keputusan akhir."

Kemenangan Burnley, yang juga pertama ke atas Chelsea sejak 1971, jelas menjadikan suasana di Stamford Brigde bertambah hambar tambahan pula Conte amat kecewa dengan aktiviti pembelian pemain oleh kelabnya, sebelum ini.

Pada perlawanan itu, pasukan kendalian Conte beraksi tanpa Eden Hazard dan penyerang Diego Costa yang masih dibelenggu kecederaan manakala pemain baharu mereka yang dibeli dengan nilai STG58 juta (RM322 juta), Morata hanya dibawa masuk dari bangku simpanan.

Pemain muda mereka, Jeremie Boga membuat penampilan sulungnya, namun terganggu dengan rombakan yang perlu dilakukan pasukan selepas Cahill diarah keluar padang pada minit ke-14 kerana mengasari Steven Defour.

Vokes meletakkan Burnley di hadapan pada minit ke-24 selepas menerima hantaran dari Matthew Lowton. Ward menggandakan jaringan buat pelawat pada minit ke-39 sebelum Vokes sekali lagi menambah jaringan sebelum rehat babak pertama.

Pemain gantian di babak kedua, Morata dan Luiz mengurangkan defisit jaringan namun Burnley berjaya mengekalkan corak permainan untuk meraih kemenangan.

"Adakah kami menjangkakan situasi sebegini? Jujurnya tidak," kata pengurus Burnley, Sean Dyche.

"Ia tiga mata yang menarik dan pengadil, saya hanya mahu mengatakan yang ini adalah hari paling menyeronokkan." - AFP

Berita Harian X