Isnin, 14 Ogos 2017 | 8:23am
Bintang Real, Ronaldo menanggalkan jersi ketika meraikan gol kedua pasukan pada aksi pertama Piala Super menentang Barcelona di Stadium Nou Camp.- Foto AFP

Real kemuka rayuan kad kuning kedua

BARCELONA: Real Madrid akan mengemukakan rayuan terhadap kad kuning kedua diterima Cristiano Ronaldo kerana sengaja menjatuhkan badan dalam aksi pertama Piala Super Sepanyol di Barcelona selepas pemain Portugal itu mempamerkan persembahan terbaik dan terburuknya ketika Real menang 3-1, awal pagi tadi.

Jurulatih Real, Zinedine Zidane memaklumkan rayuan berkenaan sejurus selepas perlawanan terbabit tamat.

Ronaldo meluangkan 24 minit di padang selepas tidak berada dalam senarai kesebelasan utama di Nou Camp namun tetap menunjukkan impak besar kepada pasukan.

Pemain berusia 32 tahun itu diberi sambutan hangat oleh penyokong ketika memanaskan badan sebelum menggantikan Karim Benzema, meledak gol cantik pada minit ke-80 bagi meletakkan Real di depan 2-1 selepas Lionel Messi menjaringkan gol penyamaan.

Pemain Portugal itu menanggalkan bajunya selepas meledak jaringan dan mencetuskan provokatif sebelum dilayangkan kad kuning.

PEMAIN Cristiano Ronaldo (kanan) tidak berpuas hati selepas pengadil perlawanan, Ricardo de Burgos Bengoetxea melayangkan kad merah pada aksi pertama Piala Super di Stadium Nou Camp. - Foto AFP

Dua minit kemudian, dia diarah keluar padang kerana cuba mendapatkan penalti selepas diasak Samuel Umtiti.

Menambahkan lagi kehangatan perlawanan, Ronaldo juga menolak pengadil Ricardo De Burgos Bengoetxea sebelum keluar meninggalkan padang.

"Kami bermain satu perlawanan hebat tetapi saya terganggu apabila Cristiano diarah keluar padang," kata Zidane dalam sidang media.

"Mungkin ia bukan penalti tetapi kad merah adalah terlalu berat. Kami tidak mampu mengubahnya tetapi kami akan cuba dan memastikan dia beraksi pada Rabu ini." - Reuters

Berita Harian X