Isnin, 14 Ogos 2017 | 11:29pm
REAKSI penyerang Real, Cristiano Ronaldo selepas dibuang padang pada aksi pertama Piala Super Sepanyol, awal pagi tadi. - Foto EPA

Ronaldo digantung 5 perlawanan tolak pengadil

MADRID: Cristiano Ronaldo digantung lima perlawanan oleh Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) susulan tindakannya menolak pengadil ketika Real Madrid menang 3-1 ke atas Barcelona dalam aksi pertama Piala Super Sepanyol, awal pagi tadi.

Pemain Terbaik Dunia itu dijatuhi hukuman gantung automatik satu perlawanan atas kesalahan kad merah yang diperolehnya, selain tambahan empat perlawanan berikutan reaksi tidak sepatutnya terhadap pengadil Ricardo de Burgos Bengoetxea.

Bintang Portugal itu turut didenda 3,805 euro (RM19,245) dan diberikan 10 hari untuk mengemukakan rayuan.

Seandainya rayuan itu gagal, Ronaldo akan terlepas pertemuan timbal balik Piala Super Sepanyol pada Khamis ini, selain empat perlawanan La Liga menentang Deportivo la Coruna, Valencia, Levante dan Real Sociedad.

Gergasi Sepanyol itu sebelum ini berhasrat untuk membuat rayuan terhadap kad kuning kedua diperoleh pemain bintangnya itu yang berlaku lapan minit sebelum permainan berakhir.

Ketika itu, Ronaldo dikatakan sengaja merebahkan badan selepas dikasari Samuel Umtiti.

"Hukuman buang padang ke atas Ronaldo menyakitkan hati saya kerana sekalipun ia bukan penalti, kad yang diterimanya adalah keras," kata bos Real, Zinedine Zidane sejurus perlawanan. "Kami akan melihat apa yang boleh kami lakukan supaya dia boleh bermain Khamis nanti."

Ronaldo hanya berada di atas padang selama 24 minit selepas dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua dan meledak gol 10 minit sebelum permainan berakhir untuk Real mendahului 2-1.

Dia dilayangkan kad kuning pertama kerana menanggalkan jersinya ketika meraihkan jaringan berkenaan sebelum dilayangkan kad merah ke-10 dalam kariernya dua minit berselang.

"Sejurus dia ditunjukkan kad merah, pemain itu (Ronaldo) menolak saya sedikit sebagai tanda dia tidak berpuas hati," kata de Burgos Bengoetxea dalam laporannya.

Berdasarkan peraturan RFEF, kekasaran seperti itu boleh dikenakan penggantungan empat hingga 12 perlawanan, namun kes yang sama sebelum ini turut menyaksikan pemain dikenakan penggantungan empat perlawanan. - AFP

Berita Harian X