Selasa, 15 Ogos 2017 | 9:53pm
JURULATIH Real Madrid, Zinedine Zidane. - Foto REUTERS

Zidane tak puas hati hukuman ke atas Ronaldo

MADRID: Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane berang terhadap hukuman gantung lima perlawanan yang diterima Cristiano Ronaldo susulan kekasaran terhadap pengadil ketika menentang Barcelona pada aksi Piala Super Sepanyol, semalam.

Real memiliki kelebihan 3-1 menjelang aksi timbal balik, Khamis ini menentang seteru utamanya itu namun perlu beraksi tanpa kelibat Ronaldo yang menyumbang satu gol pada perlawanan berkenaan.

Pemain Terbaik Dunia itu dilayangkan kad kuning kedua kerana dikatakan sengaja merebahkan badan dan hukumannya bertambah susulan tindakannya menolak pengadil, Ricardo de Burgos Bengoetxea sejurus diarah keluar padang.

"Kami berasa amat marah," kata Zidane. "Apabila kamu melihat kembali apa yang berlaku, untuk berfikir Cristiano tidak akan bersama kami dalam lima perlawanan.... ia amat menyakitkan."

Rayuan Real terhadap hukuman berkenaan yang membolehkan penggantungan itu dikurangkan kepada empat akan diketahui sehari sebelum perlawanan, esok.

"Jawatankuasa (Rayuan) akan berjumpa dan saya harap mereka akan melihat perkara ini," kata bekas pemain Perancis itu.


Cristiano Ronaldo (tengah) meninggalkan padang selepas dilayangkan kad merah pada aksi Piala Super Sepanyol menentang Barcelona, semalam. - Foto REUTERS

"Cristiano kecewa kerana dia mahu bermain dan apabila dia tidak bermain, dia tidak gembira."

Ronaldo hanya berada di atas padang selama 24 minit pada perlawanan berkenaan selepas dimasukkan selaku pemain gantian pada babak kedua.

Kehadirannya memberi impak besar apabila meletakkan Real mendahului 2-1 ketika perlawanan berbaki 10 minit namun tindakan kurang bijaknya menanggalkan baju ketika meraikan jaringan berkenaan menyaksikannya dilayangkan kad kuning.

Dua minit kemudian, dia dilayangkan kad kuning kedua selepas dikatakan sengaja merebahkan badan selepas memperoleh tekanan daripada Samuel Umtiti. - AFP

Berita Harian X