Khamis, 17 Ogos 2017 | 12:34am
GYLFI Sigurdsson akan menyertai pasukan Everton. - Foto AFP
GYLFI Sigurdsson akan menyertai pasukan Everton. - Foto AFP

Sigurdsson mantapkan serangan Everton

LONDON: Pengendali Everton, Ronald Koeman berkata dia menjangkakan kehadiran Gylfi Sigurdsson akan memantapkan pilihan serangan kelab bimbingannya selepas penyerang itu melengkapkan ujian perubatan sebelum meninggalkan Swansea City.

Sigurdsson akan berpindah ke Goodison Park selepas kedua-dua kelab bersetuju dengan yuran perpindahan dianggar sekitar 45 juta pound (RM248.56 juta) yang juga rekod bagi Everton, menurut laporan media Britain.

Pemain 27 tahun itu memainkan peranan penting dalam usaha Swansea mengelak penyingkiran pada musim lalu dengan menjaringkan enam gol dan 13 bantuan jaringan.

"Yang terbaru ialah dia menjalani ujian perubatan pada pagi ini. Apa yang saya dengar daripada doktor ialah tiada sebarang masalah," kata Koeman ketika sidang media menjelang pertemuan pertama playoff Liga Europa menentang kelab Croatia, Hajduk Split, Jumaat ini.

"Kami bekerja keras untuk mendapatkan perjanjian ini dan dia adalah antara pemain tonggak untuk dibawa masuk. Kami tahu akan kehilangan (Romelu) Lukaku pada musim ini dan kami mahukan pemain yang produktif kepada pasukan."

Lukaku berpindah ke Manchester United bulan lalu dengan yuran perpindahan dipercayai 75 juta pound (RM414.26 juta).

Sigurdsson dilabel Koeman sebagai pemain yang amat produktif.

"Pada pandangan saya, dia salah seorang pemain terbaik di Liga Perdana Inggeris," katanya. - REUTERS

Berita Harian X