Khamis, 17 Ogos 2017 | 4:09pm
DATUK Ong Kim Swee (dua dari kiri) menegaskan sudah mendapat gambaran lebih jelas kekuatan pasukannya menjelang peretemuan menentang Myanmar. - Foto Asyraf Hamzah

Kim Swee dedah rahsia rombak pasukan

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad bawah 22 tahun negara (B-22), Datuk Ong Kim Swee tidak takut untuk terus membuat rombakan dalam skuad utamanya bagi memburu kemenangan dalam aksi paling getir Kumpulan A berdepan Myanmar di Stadium Shah Alam, Isnin ini.

Kim Swee melakukan enam pertukaran ketika menentang Singapura malam tadi, berbanding skuad asal ketika menang 2-1 ke atas Brunei dalam aksi pertama. Rombakan itu menyaksikan skuad negara bergelut sehingga ketinggalan satu gol pada babak pertama.

Cuma kemasukan semula pemain tengah, Nor Azam Azih serta penyerang, N Thanabalan mengubah situasi dengan kedua-dua pemain simpanan itu menjaringkan gol pada aksi separuh kedua bagi memastikan kemenangan 2-1.

Menurut pengendali kelahiran Melaka itu, beliau ada sebab untuk melakukan rombakan dalam kesebelasan utama, malam tadi.

"Anda tahu, enam pemain yang saya turunkan itu? Mereka juga pemain berkualiti. Sebab saya tidak gunakan Nor Azam adalah kerana dia bermain dalam banyak perlawanan bersama pasukannya (Pahang) sebelum ini, lihat minit permainan dia beraksi.

"Thanabalan pula baru pulih daripada kecederaan (lutut kanan), saya tidak boleh mengambil risiko kehilangan pemain terbaik saya selepas ini kerana kita akan menentang Myanmar dan Laos," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Tiga mata yang diraih ke atas Singapura dalam perlawanan kedua itu meletakkan Malaysia di tangga kedua kumpulan A, berkongsi enam mata dengan Myanmar yang memiliki kelebihan jaringan.

Selepas dua perlawanan, Kim Swee menegaskan sudah mendapat gambaran lebih jelas kekuatan pasukannya dan tanpa kecederaan pemain ketika ini, tiada masalah untuknya menurunkan barisan terbaik menentang Myanmar, naib juara edisi 2015 di Singapura.

Dengan rombakan yang sukar dijangka dalam kesebelasan utama, ia dilihat mampu menyukarkan Myanmar membaca kekuatan sebenar Malaysia.

"Pada separuh masa kedua permainan (dengan Singapura), ia menunjukkan kekuatan sebenar pasukan kita dan saya percaya kita boleh terus meningkat selepas ini.

"Saya memiliki pilihan pemain lebih baik berbanding di Bangkok (kelayakan Kejohanan AFC B-23) dan pastinya saya mahu menurunkan barisan terbaik setiap perlawanan.

"Pemain pula perlu merebut tempat kerana saya mungkin akan menggunakan jentera serangan berbeza," kata bekas pengendali kebangsaan itu.

13363 dibaca
Berita Harian X