Rabu, 23 Ogos 2017 | 9:27am
PENYERANG PSG, Neymar membatalkan kontrak selepas beberapa bulan selepas dia menandatangani kontrak dengan Barcelona sehingga 2021. - Foto AFP

Barcelona saman Neymar RM43 juta

BARCELONA: Barcelona menyaman Neymar 8.5 juta euro (RM42.81 juta) susulan pelanggaran kontrak dan mahu bintang Brazil itu membayar semula bonus ketika dia sudah menandatangani kontrak baharu lima tahun kurang sembilan bulan sebelum menyertai Paris St Germain (PSG).

Kelab gergasi Catalan itu dalam satu kenyataan berkata, mereka turut meminta bayaran tambahan 10 peratus berikutan penangguhan selepas permintaan mereka tidak dipenuhi.

"Barcelona mengambil tindakan ini bagi mempertahankan kepentingan mereka, selepas kontrak Neymar dibatalkan hanya beberapa bulan selepas dia menandatangani kontrak sehingga 2021," kata kelab itu dalam kenyataan berkenaan.

Neymar yang menyertai PSG pada awal bulan ini selepas kelab Perancis itu mencetus klausa perpindahan berjumlah 222 juta euro (RM1.18 bilion) berkata dia terkejut dengan keputusan berkenaan, namun berkeras tidak akan membuat bayaran.

"Ia perlu diberi perhatian kerana berita ini diterima dengan kejutan, kerana pemain itu memenuhi sepenuhnya kontrak dengan paksaan dan kemudian membayar deposit penuh jumlah yang ditetapkan dalam klausa pembelian yang dipersetujui FC Barcelona bagi membebaskannya," kata wakil Neymar dalam satu kenyataan.


NEYMAR (tengah) terkejut dengan keputusan Barcelona, namun berkeras tidak akan membuat bayaran. - Foto EPA

Kenyataan itu turut menambah peguam penyerang berusia 25 tahun itu bersedia untuk mempertahankan haknya.

PSG mengaktifkan klausa pembelian Neymar selepas Barcelona enggan untuk berunding bagi pembelian salah seorang pemain terbaik mereka.

Barcelona sudah membuat aduan kepada Persatuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) selepas mengemukakan aduan di mahkamah selain menuntut subsidi dari PSG, sekiranya Neymar enggan bertanggungjawab.

PSG menafikannya dan berkata sudah melengkapkan segala yang diperlukan.

"Paris Saint-Germain mengulanginya, seperti Neymar Jr sentiasa menghormati undang-undang dan peraturan dalam sebarang urusan dan sekali lagi, kecewa dengan sikap FC Barcelona," kata kelab gergasi Perancis itu dalam satu kenyataan.

Selepas beberapa hari menandatangani kontrak dengan PSG, Barcelona enggan membuat bayaran ansuran bonus kesetiaan berjumlah 26 juta euro (RM130.96 juta) kepada Neymar yang sepatutnya diterima pada musim panas ini selepas berkata berlakunya pelanggaran kontrak. - REUTERS

29129 dibaca
Berita Harian X