Rabu, 23 Ogos 2017 | 10:39am
CRISTIANO Ronaldo menyifatkan penolakan rayuan terhadap penggantungan lima perlawanan, semalam sebagai 'keputusan tidak boleh difahami.'- Foto AFP

Ronaldo naik angin lagi

MADRID: Cristiano Ronaldo bertambah marah apabila menyifatkan penolakan rayuan terhadap penggantungan lima perlawanan, semalam sebagai 'keputusan tidak boleh difahami.'

Mahkamah Pentadbiran Sukan Sepanyol (TAD) menolak rayuan terbaru bintang Real Madrid itu yang digantung susulan tindakannya menolak pengadil selepas diarahkan keluar padang ketika pertembungan Piala Super Sepanyol menentang Barcelona.

"Satu lagi keputusan yang tidak boleh difahami," kata Ronaldo menerusi Twitter miliknya kepada lebih 57 juta pengikutnya di laman sosial berkenaan.

"Ketidakadilan tidak akan menjatuhkan saya ke bawah. Saya akan kembali dengan lebih kuat. Terima kasih kepada siapa yang menyokong saya."

Ronaldo secara kontroversi dilayangkan kad kuning kedua kerana dikatakan sengaja merebahkan badan ketika Real mencatat kemenangan 3-1 pada perlawanan pertama timbal balik Piala Super Sepanyol di Barcelona.

Kapten Portugal itu perlu mengharungi penggantungan satu perlawanan susulan kad merah berkenaan dan lanjutan empat penggantungan kerana tindakannya menolak pengadil, Ricardo de Burgos Bengoetxea kerana tidak berpuas hati.

Ronaldo membidas layanan yang diberikan terhadap Persekutuan Bola Sepak Sepanyol yang dilabel sebagai 'penganiayaan" dalam laman sosial Instagram selepas rayuan pertamanya ditolak pada minggu lalu.

"Ia nampak seperti berlebih-lebihan dan tidak masuk akal. Inilah yang dipanggil penganiayaan!," katanya.

Pemenang anugerah Pemain Terbaik Dunia itu sudah mengharungi penggantungan dua perlawanan ketika Real melengkapkan kemenangan 5-1 secara agregat ke atas Barcelona dan perlawanan pembukaan La Liga menentang Deportivo la Coruna. - AFP

Berita Harian X