Selasa, 29 Ogos 2017 | 6:54am
PEMAIN Real Madrid, Lucas Vazquez dipanggil menyertai skuad kebangsaan Sepanyol untuk aksi kelayakan Piala Dunia

Vazquez ganti Vitolo dalam skuad Sepanyol

MADRID: Pemain Real Madrid, Lucas Vazquez dipanggil menyertai skuad kebangsaan Sepanyol untuk aksi kelayakan Piala Dunia menentang Itali dan Liechtenstein, selepas Vitolo diketepikan akibat kecederaan.

Vitolo - pemain sayap Atletico Madrid yang dipinjamkan ke Las Palmas sehingga Januari ini menjadi tonggak Sepanyol sejak Julien Lopetegui mengambil alih pasukan dua tahun lalu, menjaringkan empat gol dalam lima aksi kelayakan.

"Ketika sesi latihan semalam, pemain mengadu kesakitan dan disahkan cedera di ligamen lutut," kata Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) dalam satu kenyataan.

"Hasil rundingan dengan pasukan perubatan kelab dan RFEF, pemain ini akan meninggalkan skuad (kebangsaan),"

Vazquez memiliki tiga kap kebangsaan dengan penampilan pertama dalam aksi kompetitif bermula ketika Itali menundukkan Sepanyol 2-0 di saingan Euro 2016.

Sepanyol kini mengintai peluang untuk membalas dendam apabila menjadi tuan rumah kepada pasukan Azzurri di Santiago Bernabeu pada Sabtu ini. Ketika ini, kedua-dua pasukan terikat dengan 16 mata untuk mengemudi Kumpulan G di saingan kelayakan peringkat Eropah. - AFP

Berita Harian X