Jumaat, 1 September 2017 | 3:52pm
KETUA jurulatih, Datuk Ong Kim Swee (kanan) ketika sesi latihan pasukan bola sepak Malaysia B-22 di Padang Latihan Sime Darby FC, Bukit Jelutong. - Foto Asyraf Hamzah

Anak buah Kim Swee bukan 'pasukan pelancong' AFC 2018

KUALA LUMPUR: Skuad bawah 22 tahun negara (B-22) tidak akan menjadi pasukan 'pelancong' apabila beraksi pada Kejuaraan Bawah 23 tahun (B-23) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di China, pada Januari ini.

Keyakinan itu dilontarkan oleh bekas pengendali skuad kebangsaan, B Sathianathan yang optimis skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu mampu memberi cabaran kepada gergasi bola sepak Asia lain, sekali gus mengelak menjadi 'pasukan belasahan'.

Katanya, kekecewaan dialami mereka pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 tidak seharusnya dijadikan petunjuk terhadap kemampuan sebenar memandangkan masih mempunyai masa menjalani persiapan sebelum ke temasya berprestij benua Asia itu.

"Sejak Kim Swee mengambil alih pasukan B-22, saya melihat banyak peningkatan yang ditunjukkan terutama membabitkan taktikal yang digunakan pada peringkat kelayakan dan temasya Sukan SEA 2017.

"Taktikal 3-4-3 yang digunakan nyata sesuai dengan pasukan B-22. Ini dibuktikan apabila mereka berjaya layak ke saingan Kejuaraan B-23 AFC dan perlawanan akhir Sukan SEA 2017 meskipun ramai yang meragui kemampuan sebelumnya.

"Saya yakin jika Kim Swee terus diberikan kepercayaan dan masa untuk membimbing pasukan itu, sudah pasti pasukan itu mampu menjadi lebih mantap dalam tempoh beberapa bulan sebelum saingan itu berlangsung," katanya kepada BH Online, hari ini.

Sebagai rekod, skuad B-22 berjaya mara ke pusingan akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 selepas mencipta kejutan muncul selaku juara Kumpulan H dengan mengetepikan gergasi bola sepak Asia Tenggara, Thailand; Indonesia dan Mongolia.

Namun, kekalahan 1-0 di tangan Thailand yang dibimbing Worrawot Srimaka pada pentas akhir acara bola sepak Sukan SEA 2017 menimbulkan kebimbangan terhadap kesediaan skuad B-22 menghadapi saingan di peringkat yang lebih tinggi berbanding temasya serantau itu.

Malah, pertahanan yang longgar menyaksikan skuad B-22 dibolosi dalam empat perlawanan jelas menunjukkan betapa masih banyak kerja yang perlu dilakukan oleh Kim Swee sebelum menghadapi cabaran di China, awal tahun hadapan.

Berita Harian X