Sabtu, 2 September 2017 | 3:57pm
PESERTA Klinik Asas Bola Sepak Junior anjuran Pemuda UMNO Tenom di Tenom. - Foto Francis Andin
PESERTA Klinik Asas Bola Sepak Junior anjuran Pemuda UMNO Tenom di Tenom. - Foto Francis Andin

Matlan Marjan bimbing bakat muda

TENOM: Kehadiran legenda bola sepak Sabah, Matlan Marjan, menarik 361 peminat bola sepak muda dari daerah ini untuk menyertai Klinik Asas Bola Sepak Junior selama dua hari bermula semalam.

Turut hadir ialah Ketua Jurulatih Skuad Liga Simpanan Sabah, Justin Ganai; jurulatih Pasukan Sabah, Jelius Ating; adik Matlan, Zainizam Marjan serta beberapa jurulatih bola sepak bertauliah dari Sabah.

Mereka dijemput mengendalikan program bertemakan `Back To Basic' anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Tenom dengan kerjasama Kelab Bola Sepak Tenom.

Program khusus untuk murid dan pelajar sekolah berumur antara tujuh tahun hingga 14 tahun itu adalah yang pertama dianjurkan di daerah ini, bertujuan menyemai minat bola sepak dalam kalangan generasi muda selain mencari pemain pelapis berpotensi.

MATLAN Marjan (dua kiri) dan Jamawi (tiga kiri) bersama beberapa jurulatih bola sepak Sabah yang menjayakan Klinik Asas Bola Sepak Junior anjuran Pemuda UMNO Tenom di Tenom. - Foto Francis Andin
MATLAN Marjan (dua kiri) dan Jamawi (tiga kiri) bersama beberapa jurulatih bola sepak Sabah yang menjayakan Klinik Asas Bola Sepak Junior anjuran Pemuda UMNO Tenom di Tenom. - Foto Francis Andin

Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar, berkata pengendalian program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dengan jumlah yang hadir melebihi sasaran awal ditetapkan.

"Sasaran awal hanya 200 orang tetapi lebih 300 hadir di padang pekan Tenom, menggambarkan minat kanak-kanak dan remaja terhadap permainan bola sepak serta dorongan ibu bapa yang menggalakkan.

"Klinik ini bertujuan mencungkil bakat kanak-kanak dan remaja serta mendedahkan mereka mengenai teknik permainan bola sepak yang ditunjukkan bekas pemain terkemuka dari Sabah," katanya, di sini, hari ini.

Jamawi berkata, program itu akan diteruskan sebagai antara usaha membantu pasukan Sabah mencari bakat baharu bola sepak yang boleh diketengahkan untuk menaikkan semula imej bola sepak negeri.

AKSI bersemangat peserta Klinik Asas Bola Sepak Junior anjuran Pemuda UMNO Tenom di Tenom. - Foto Francis Andin
AKSI bersemangat peserta Klinik Asas Bola Sepak Junior anjuran Pemuda UMNO Tenom di Tenom. - Foto Francis Andin

Berita Harian X