Ahad, 3 September 2017 | 7:40am
ISCO dalam aksi kelayakan Piala Dunia, awal pagi tadi.- Foto Reuters

Isco makin matang, hebat: Lopetegui

MADRID: Jurulatih Sepanyol, Julen Lopetegui percaya bakat semula jadi Isco akhirnya mula diterjemahkan kepada kehebatan.

Ia selepas aksi Isco menyumbangkan dua gol ketika menewaskan Itali 3-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia, awal pagi tadi.

Selepas memulakan karier sukar di Real Madrid sejak menyertai kelab itu pada tahun 2013, Isco mula menyerlah di bawah kendalian Zinedine Zidane dan prestasi baik itu diteruskan bersama skuad kebangsaan.

Dalam aksi di Santiago Bernabeu itu, sepakan percuma yang diambilnya pada minit ke-13 menghasilkan jaringan pembukaan perlawanan, diikuti jaringan kedua sebelum babak pertama berakhir.

Pemain gantian Alvaro Morata melengkapkan malam gemilang buat Sepanyol apabila menyumbangkan gol ketiga, sekali gus menyaksikan Sepanyol kini mendahului Kumpulan G.

Itali kendalian Giampiero Ventura mungkin terpaksa berdepan aksi playoff untuk memburu tempat ke pusingan akhir Piala Dunia di Russia tahun depan.

- AFP

2016 dibaca
Berita Harian X