Rabu, 6 September 2017 | 4:30pm
AKSI pemain Kedah, Ken Ilso melakukan sepakan gunting ketika menentang Selangor, pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman. - Foto Amran Hamid
AKSI pemain Kedah, Ken Ilso melakukan sepakan gunting ketika menentang Selangor, pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman. - Foto Amran Hamid
KONTRAK Ken Ilso Larsen bersama Kedah berakhir hujung tahun ini.. - Foto Osman Adnan
KONTRAK Ken Ilso Larsen bersama Kedah berakhir hujung tahun ini.. - Foto Osman Adnan

Liga M: Ken Ilso angkat kaki?

KUALA LUMPUR: Penjaring terbanyak Kedah, Ken Ilso Larsen kemungkinan akan 'angkat kaki' apabila kontraknya berakhir hujung tahun ini.

Selepas meledak 21 gol daripada 26 perlawanan serta mencipta 7 bantuan gol, kelibat pemain import dari Denmark itu mula mendapat perhatian beberapa kelab Liga Malaysia (Liga-M) yang mahu mendapatkan khidmatnya musim depan.

Sehingga kini, difahamkan pihak Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), belum mengadakan sebarang perbincangan kontrak baru dengan Larsen, serta seorang lagi pemain import Australia, Zachary Anderson yang turut cemerlang mengemudi pertahanan Helang Merah.

"Ken Ilso sudah membuktikan dia penyerang yang bagus dengan rekod jaringannya musim ini. Malah Zachary Anderson juga bagus kerana membantu Kedah tidak dibolosi dalam 12 perlawanan.

"Tetapi setakat ini belum pasti dua pemain ini akan kekal musim depan. Mungkin KFA mahu menunggu selepas saingan Piala Malaysia berakhir baru mengadakan perbincangan.

"Masalahnya, KFA tidak menyediakan perancangan awal pasukan mereka pada musim akan datang, ini akan menyukarkan keadaan kerana mereka juga akan bertanding dalam Piala AFC tahun depan," kata sumber rapat KFA.

Selain Larsen dan Anderson, Kedah turut memiliki dua lagi pemain import iaitu pemain tengah, Sandro da Silva dan Liridon Krasniqi.

Larsen menjadi antara watak penting kejayaan Kedah kendalian Nidzam Adzha Yusoff menjuarai Piala FA dengan meledak lima gol sepanjang kejohanan itu, termasuk satu gol ketika menewaskan Pahang 3-2 di perlawanan akhir 20 Mei lalu.

Ketika ini Kedah masih dalam landasan baik untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia serta mengejar kedudukan naib juara Liga Super.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X