Jumaat, 8 September 2017 | 6:47pm
KETUA jurulatih JDT, Ulisses Morais mahu anak buahnya guna kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mencipta kemenangan. - Foto Owee Ah Chun

Bukan perlawanan balas dendam: Morais

JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Ulisses Morais menjelaskan aksi terakhir Kumpulan D Piala Malaysia antara pasukannya dan Selangor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok, bukan perlawanan untuk membalas dendam.

Sebaliknya JDT bertekad untuk meraih kemenangan bagi memenuhi sasaran menamatkan saingan kumpulan di tangga teratas.

"Ini bukan perlawanan untuk membalas dendam selepas kita tewas dua kali kepada Selangor 2-3 pada saingan Piala Malaysia, 18 Julai lalu dan tewas 1-2 pada aksi Liga Super, 5 Ogos lalu, sebaliknya kami ada sasaran iaitu mahu menamatkan saingan kumpulan di tangga teratas.

"Kita tidak boleh tewas lagi kepada Selangor dan setiap pemain yang akan diturunkan harus memberi persembahan terbaik kerana perlu guna kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mencipta kemenangan," kata Morais hari ini.

Morais mengakui JDT sudah menempatkan diri ke saingan suku akhir Piala Malaysia musim ini, namun tetap mengidamkan untuk mengakhiri saingan kumpulan dengan kemenangan bagi kekal di tangga teratas.

Yang pasti pertembungan JDT dan Selangor tampak menarik tatkala masing-masing mengumpul 10 mata dan kelebihan memihak skuad Harimau Selatan yang berada di tangga teratas dengan kelebihan jaringan dan kesempatan beraksi di laman sendiri tidak harus dilepaskan.


AKSI pemain Selangor, Mohd Raimi Md Nor bersaing dengan pemain JDT, Darren Lok (dua dari kanan) mendapatkan bola dalam saingan Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. - Foto Owee Ah Chun

Bagi memenuhi sasarannya itu, Morais akan menurunkan kesebelasan terbaik ketika berdepan skuad kendalian P Maniam yang pasti akan turun habis-habisan.

"Sepanjang tempoh rehat ketika temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), baru-baru ini, saya meneruskan latihan dan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan menentang dua kelab dari Singapura dan kedua-dua perlawanan itu menunjukkan peningkatan terhadap kualiti permainan setiap pemain JDT.

"Tidak dinafikan, Selangor adalah pasukan hebat. Kami tidak boleh ambil mudah dan perlu lebih agresif apabila menentang pasukan itu yang memiliki barisan pemain yang berkualiti," katanya.

Morais juga menegaskan walaupun tanpa kelibat Marcos Antonio yang mengalami kecederaan dan khidmat pemain itu tidak dapat digunakan sehingga berakhir saingan liga, beliau optimis pemain yang sedia ada mampu menggalas tugas untuk beraksi di posisi pertahanan.

Katanya, gandingan pemain seperti Aidil Zafuan Abd Radzak, Junior Eldstal dan Mohd Fadhli Shas mampu beraksi di posisi pertahanan tengah untuk membentuk benteng yang ampuh.

3538 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »