Sabtu, 9 September 2017 | 8:00pm
ARSENE Wenger berdepan tamparan hebat apabila Dick Law bakal meninggalkan Arsenal. - Foto Reuters

Wenger hilang perunding beli pemain

LONDON: Pengendali Arsenal, Arsene Wenger berdepan tamparan hebat apabila tonggak pasukan yang juga perunding perpindahan pasukan itu, Dick Law bakal meninggalkan kelab yang sedang berdepan krisis itu.

Law yang turut dikritik bersama Wenger kerana dasar perpindahan kelab sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mengejutkan banyak pihak selepas dia kekal menjawat jawatan itu sehingga Mei lalu sebelum menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, Press Association Sport mendakwa Law bakal meninggalkan pasukan itu selepas lapan tahun menguruskan perpindahan dan kembali ke Amerika Syarikat atas urusan keluarga.

Pasukan itu melantik Huss Fahmy pada Jun lalu untuk bekerja bersama Law, khususnya membabitkan kontrak pemain namun belum ada gambaran jelas mengenai kedudukan terkininya selepas pemergian Law.

Wenger menjadi sasaran kritikan kerana keengganan untuk memasuki 'peperangan bidaan' bersaing dengan seterunya dalam Liga Perdana Inggeris.

Dia lebih gemar menunggu sehingga minit terakhir untuk menandatangani pemain, sekali gus menjadikan perpindahan itu seolah-olah 'pembelian panik'.

Bagaimanapun, Wenger bertindak pantas pada musim ini apabila berjaya mengikat penyerang Lyon, Alexandre Lacazette dengan rekod perpindahan kelab (52 juta pound/RM288 juta).

Namun selain penyerang Perancis itu, hanya seorang sahaja pemain baharu menyertai mereka iaitu pertahanan Bosnia, Sead Kolasinac yang ditandatangani secara percuma. - AFP

1460 dibaca
Berita Harian X