Isnin, 11 September 2017 | 5:43pm
TAN Sri Annuar Musa tetap pendirian tidak mahu bertanding jawatan Presiden KAFA. - Foto Nazran Jamel

Annuar tolak pencalonan tanding presiden KAFA

KOTA BHARU: Tan Sri Annuar Musa tetap dengan pendirian tidak mahu bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) walaupun namanya turut dicalonkan semalam.

Menerusi entri terbaharu pada akaun Facebooknya sebentar tadi, Annuar berkata beliau menarik diri dari pencalonan itu untuk memberi peluang kepada individu lain untuk merebut jawatan berkenaan

Kongres KAFA dijadual diadakan 17 September ini.

"Difahamkan nama saya masih dicalonkan untuk presiden KAFA dan ada beberapa nama lain (bertanding jawatan itu)...Usah kecewakan 'pencinta bola Kelantan' yang sudah lama berjuang untuk saya tidak memimpin KAFA.

"Calon presiden yang disenaraikan mampu membawa pasukan Kelantan ke peringkat yang lebih baik daripada apa yang saya lakukan selama 10 tahun memegang jawatan itu.

"Saya tidak perlu bertanding kerana saya yakin ramai (calon) lain boleh buat lebih baik dari saya...10 tahun bagi saya sudah cukup lama.. dan dalam tempoh itu saya lalui suka duka dan berdepan pelbagai masalah dalam bola sepak," katanya.

Nama Annuar dicalonkan oleh Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) selain empat calon lain.

Mereka adalah Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail; Datuk Mohamad Nasir Hamzah; Pengerusi Chengal Jati Sdn Bhd, Datuk Shaari Hassan dan usahawan wanita, Bibi Ramjani Ilias Khan.

Dalam entri sama, Annuar memberitahu walaupun beliau tidak memegang jawatan dalam badan induk berkenaan musim ini, dia tetap membantu dengan menyalurkan dana kewangan kepada pasukan.

Katanya, beberapa isu membabitkannya dan bola sepak Kelantan menyebabkan beliau terpaksa digantung daripada memegang jawatan Pengerusi MARA.

"Tahun ini saya tidak pegang apa-apa jawatan tapi secara sukarela (saya) usahakan hampir RM8 juta melalui syarikat rangkaian saya (sebagai penaja).

"Sehingga saya digantung dalam MARA kerana bola sepak Kelantan...yang akhirnya saya memilih untuk berhenti dari MARA susulan beberapa peristiwa dalam MARA...Semua (yang berlaku) saya reda demi The Red Warriors (TRW) yang saya lahirkan dan saya kendong," katanya.

646 dibaca
Berita Harian X