Selasa, 12 September 2017 | 8:02am
ANTONIO Conte. - Foto AFP

Conte sedia gilir pemain

LONDON: Antonio Conte bersedia untuk melakukan penggiliran pemain ketika Chelsea kembali ke saingan Liga Juara-Juara selepas setahun menentang kelab Azerbaijan Qarabag di laman sendiri awal pagi esok.

Qarabag yang dianggap 'orang luar' berkunjung ke Stamford Bridge selepas tiga hari Chelsea dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan Leicester City 2-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) diikuti pertemuan menarik dengan pencabar tetangga London, Arsenal pada Ahad ini.

Ia adalah sesuatu yang tidak diharungi Conte pada musim lalu ketika mengemudi Chelsea menjulang kejayaan EPL pada musim pertamanya di England selepas kelab itu menamatkan saingan di tangga ke-10 pada musim sebelumnya.

Qarabag jelas dianggap sebagai kelab kerdil dalam Kumpulan C yang turut dihuni AS Roma dan Atletico Madrid namun Conte perlu membuat pertimbangan sebaiknya jika mahu merehatkan pemain dengan kekalahan akan menyempitkan peluang mara ke peringkat seterusnya.

Conte berkata penyerang berpengaruh, Eden Hazard yang kembali cergas selepas kecederaan buku lali akan berada di bangku simpanan manakala pemain baharu, Danny Drinkwater direhatkan susulan kecederaan paha.

"Kami mengharungi perlawanan yang sukar (di Leicester) dan menghabiskan begitu banyak tenaga. Untuk bermain tujuh perlawanan dalam tempoh 21 hari bukan mudah," kata pengurus dari Itali itu.

"Adalah normal untuk bersedia melakukan beberapa penggiliran. Ada keperluan untuk melakukan penggiliran pemain dan bermain satu perlawanan ke satu perlawanan."

Penyerang Sepanyol, Alvaro Morata yang dibeli dari kelab Real Madrid pada musim panas ini turut akan direhatkan, kata Conte.

"Jangan lupa yang Morata bermain sepenuh masa di Sepanyol dan kemudian sepenuh masa menentang Leicester. Saya perlu menyemak pelbagai situasi dan melakukan keputusan terbaik untuk esok.

"Saya amat tenang mengenai perkara ini dan saya mempercayai pemain-pemain saya."

Conte memenangi Liga Juara-Juara sebagai pemain bersama Juventus pada 1996 dan dua musim mengemudi gergasi Itali itu dalam kempen elit berkenaan namun gagal memenanginya. - Reuters

997 dibaca
Berita Harian X