Selasa, 12 September 2017 | 6:29pm
N THANABALAN masih mempunyai baki kontrak dengan PBNS yang ditandatangani untuk tempoh selama lima tahun bermula 2015 lalu. - Foto Osman Adnan

Thanabalan sedia bersama NS musim depan

SEREMBAN: Penyerang muda sensasi skuad bawah 22 tahun (B-22), N Thanabalan, tidak mempunyai halangan untuk kembali bersama Negeri Sembilan, bagi mengharungi cabaran Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Ketika ini, pemain berusia 22 tahun itu dipinjamkan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) selama semusim untuk bersama FELCRA FC, yang bersaing dalam Liga FAM 2017.

Tonggak utama skuad B-22 bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu mengakui, minatnya untuk berbakti kepada pasukan negeri kelahirannya itu tetap menebal kerana PBNS banyak memainkan peranan penting mengetengahkan bakatnya.

"Secara peribadi, saya tiada halangan untuk kembali bersama Negeri Sembilan bagi menghadapi saingan musim depan kerana ketika ini, saya hanya dipinjamkan kepada FELCRA FC.

"Malah, saya juga masih mempunyai baki kontrak dengan PBNS yang ditandatangani untuk tempoh selama lima tahun bermula 2015 lalu.

"Mana-mana pemain pun pastinya mempunyai minat mendalam untuk mewakili negeri kelahiran, tetapi dalam era profesional ketika ini, kita tidak boleh jangka kerana apa-apa perubahan boleh berlaku.

"Banyak faktor yang akan mempengaruhi seseorang pemain," katanya, di sini, hari ini.

Kelibat Thanabalan mula mencuri tumpuan ketika membantu skuad B-22 negara mara ke pentas final temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), bulan lalu.

Pemain kelahiran Rantau itu menjaringkan gol tunggal ketika membenam Indonesia di separuh akhir, namun dia gagal membantu Malaysia meraih pingat emas, selepas tewas 0-1 kepada Thailand, di pentas final.

Sebelum ini, Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan, menjelaskan pemain muda sensasi itu akan kembali bersama skuad Hobin Jang Hobin, musim depan.

Mohamad menegaskan, PBNS sentiasa memantau perkembangan Thanabalan kerana dia adalah antara permata bola sepak yang berjaya dilahirkan persatuan itu, menerusi program pembangunan bermula dengan Piala Belia.

"Dia seorang pemain muda berbakat dan penyerang berkualiti. Kita (PBNS) sendiri tidak mahu kehilangan pemain sepertinya," kata Mohamad.

Namun Thanabalan berkata, setakat ini belum ada apa lagi perbincangan mengenai persiapan musim depan atau mana-mana pasukan lain yang menyatakan hasrat mendapatkan khidmatnya.

Malah katanya, fokusnya ketika ini adalah untuk membantu skuad yang diwakilinya (FELCRA FC) meraih kejayaan dan sekali gus muncul juara Piala FAM tahun ini.

"Saya berharap dapat membantu FELCRA FC menjulang kejuaraan Liga FAM tahun ini dan seterusnya berpeluang layak ke saingan Liga Perdana musim 2018," katanya.

2253 dibaca
Berita Harian X