Selasa, 12 September 2017 | 8:29pm
PEMAIN Selangor kini memiliki semangat juang tinggi dan bersedia melangkah jauh dalam kempen Piala Malaysia musim ini. - Foto Owee Ah Chun

Kami ada karektor 'Sang Juara': P Maniam

SHAH ALAM: P Maniam percaya skuad Selangor memiliki karektor 'sang juara' untuk melangkah jauh dalam kempen Piala Malaysia musim ini apabila bakal berentap menentang Kedah di saingan suku akhir pertama di Stadium Shah Alam, Jumaat ini.

Bagi Maniam, pemainnya kini memiliki semangat juang tinggi dan bersedia menghadapi serangan jentera depan Kedah yang akan diketuai tonggak import berbisa mereka, Liridon Krasniqi dan Sandro da Silva.

Jelasnya, misi utama anak didiknya adalah untuk tidak membenarkan pintu gol skuad Red Giants dibolosi di laman sendiri bagi memudahkan tugas apabila bertandang ke Alor Star pada aksi separuh akhir kedua nanti.

"Kita tahu saingan kalah mati mementingkan peraturan gol di tempat lawan. Jadi saya tidak mahu kami dibolosi pada perlawanan pertama ini.

"Berdasarkan prestasi semasa kami, saya yakin misi itu boleh diraih. Melihatkan kepada karektor pemain, tidak mustahil kami mampu pergi jauh asalkan mereka faham tugas masing-masing ketika di padang.

"Lagipun, inilah satu-satunya trofi yang tinggal untuk kami musim ini selepas terlepas Piala FA dan Liga Super," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan Selangor di padang SUK, di sini, hari ini.

Pertembungan Selangor-Kedah di suku akhir mengulangi aksi final Piala Malaysia dua musim berturut-turut yang menyaksikan Selangor gah menamatkan badi kejuaraan ke-33 pada musim 2015, manakala skuad Hijau Kuning membalasnya pada musim 2016.

"Pasukan yang bijak mengambil kesempatan dan kurang melakukan kesilapan, akan muncul pemenang dan sebab itu saya tidak mahu pemain terlalu selesa.

"Kami perlu bermain seperti biasa dan tidak harus terikut-ikut dengan rentak lawan. Apapun, berdasarkan persiapan kami, saya yakin kami dapat lakukan yang terbaik nanti," katanya.

926 dibaca
Berita Harian X