Rabu, 13 September 2017 | 7:55am
MAROUANE Fellaini (kiri) ketika beraksi pada perlawanan bola sepak Kumpulan A UEFA Liga A antara Manchester United dan Basel di Old Trafford di Manchester. - Foto AFP

Fellaini ceriakan Old Trafford

MANCHESTER: Pemain gantian, Marouane Fellaini membuktikan kehadirannya menjadi sumber inspirasi buat Manchester United dalam memastikan kemenangan selesa 3-0 ke atas Basel pada aksi pertama Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Fellaini dimasukkan menggantikan Paul Pogba yang mengalami kecederaan dan terus mencetuskan impak apabila menghadiahkan gol pembukaan tuan rumah pada minit ke-35.

Romelu Lukaku meledak gol kedua pada minit ke-53 sebelum Marcus Rashford melengkapkan kemenangan bergaya United hasil gol lewat permainan (minit ke-84).

Aksi pagi tadi adalah yang pertama buat Red Devil dalam saingan Liga Juara-Juara sejak Disember 2015 apabila skuad Jose Mourinho kembali ke pertandingan utama Eropah ini selepas menjuarai saingan Liga Europa, musim lalu.

Terdahulu, Basel yang dikendalikan Raphael Wicky tidak berdepan banyak tekanan sehinggalah Pogba terpaksa dikeluarkan ekoran kecederaan hamstring.

Pogba yang memakai lilitan kapten hanya sempat beraksi selama 18 minit sebelum dikeluarkan.

Bagaimanapun, percaturan Mourinho memasukkan Fellaini ternyata begitu menjadi apabila United mencipta lebih banyak peluang menjaringkan gol selepas itu.

Ia termasuklah peluang dimiliki Henrikh Mkhitaryan yang hampir berjaya mencetak nama selaku penjaring, namun percubaannya dinafikan penjaga gol lawan, Tomas Vaclik.

United turut berdepan ancaman awal Basel hasil percubaan Luca Zuffi selepas apabila pertahanannya, Chris Smalling gagal menangani bola tinggi.

Bagaimanapun, dua minit selepas ini, United memecah kebuntuan jaringan apabila Fellaini bijak menanduk masuk bola hantaran Ashley Young - sekali gus menceriakan peminat mereka dan mula mendominasi aksi selepas itu. - AFP

2083 dibaca
Berita Harian X