Rabu, 13 September 2017 | 8:13am
PASUKAN Chelsea meraikan kemenangan. - Foto AFP

Chelsea belasah Qarabag

LONDON: Chelsea memulakan kempen Liga Juara-Juara dengan penuh bergaya apabila membelasah Qarabag 6-0, di Stamford Bridge, awal pagi tadi.

Anak buah Antonio Conte nyata berada di kelas sendiri, bermula dengan gol pembukaan Pedro menerusi satu rembatan jauh seawal minit kelima perlawanan.

Kemudiannya, Davide Zappacosta menutup aksi di babak pertama di gelanggang sendiri dengan noktah cemerlang apabila turut merakam nama selaku penyumbang jaringan kedua buat Chelsea pada minit ke-30.

Cesar Azpilicueta, Tiemoue Bakayoko dan Michy Batshuayi, masing-masing turut meletakkan nama mereka dalam senarai penjaring buat The Blues menerusi jaringan pada minit ke-55, 71 dan 76.

Selepas itu, usaha Maksim Medvedev menghalang percubaan Batshuayi menjadi barah apabila bola tertampan ke dalam gol sendiri untuk menghadiahkan jaringan keenam buat Chelsea, ketika perlawanan berbaki lapan minit.

Qarabag adalah kelab pertama dari Azerbaijan yang beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara dan Chelsea dilihat tidak berdepan masalah untuk meraih mata penuh menentang lawan yang tidak berpengalaman di pentas utama saingan Eropah.

Atas sebab itulah, Conte berani melakukan lima perubahan terhadap senarai pemain berbanding ketika menang 2-1 ke atas Leicester City sebelum ini dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Conte membuatkan keputusan merehatkan David Luiz, Victor Moses, Bakayoko, Antonio Rudiger dan Alvaro Morata.

Keputusan berkenaan menjadi penyuntik semangat buat juara Liga Perdana Inggeris itu untuk meneruskan kemaraan ketika diundi dalam Kumpulan C bersama Atletico Madrid dan AS Roma.

"Ini adalah keputusan yang bagus. Kami memulakan kempen Liga Juara-Juara dengan cara yang betul.

"Saya melihat komitmen yang bagus, fokus yang betul sejak awal perlawanan. Ini adalah persembahan yang hebat daripada pemain. Banyak perkara positif yang dipamerkan. Davide Zappacosta beraksi cukup cemerlang," kata Conte. - AFP

1865 dibaca
Berita Harian X