Rabu, 13 September 2017 | 8:59am
ALISSON Becker. - Foto AFP

Alisson hero Roma

ROM: Aksi cemerlang penjaga gol Brazil, Alisson Becker, membantu AS Roma mengikat Atletico Madrid 0-0, dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Perlawanan pembukaan Kumpulan C di Stadio Olimpico itu bakal menjadi penanda pasukan mana yang berpotensi layak ke pusingan seterusnya selepas satu lagi perlawanan menyaksikan Chelsea membelasah pendatang baharu, Qarabag 6-0.

Atletico yang dibimbing jurulatih dari Argentina, Diego Simeone berusaha keras untuk memecah kebuntuan terutama di babak kedua, namun percubaan mereka kerap dikecewakan Alisson.

"Kami dikecewakan oleh penjaga gol, Alisson melakukan tugasnya dengan begitu cemerlang," kata Simeone kepada televisyen Itali, selepas perlawanan.

"Banyak percubaan menemui sasaran kecuali ketika percubaan Saul (Niguez) yang terkena tiang. Dia menyelamatkan percubaan Koke, dua atau tiga rembatan Saul, persembahannya memang menakjubkan.

"Perkara penting dalam bola sepak ialah bukannya gaya persembahan atau hiburan, tetapi gol. Kami gagal menjaringkan gol dan Roma layak meraih mata.

"Saya berharap dengan mata ini (satu mata), ia akan menjadi satu nilai besar untuk kami meneruskan saingan dalam Liga Juara-Juara,"

Sementara itu, jurulatih dari Itali, Eusebio Di Francesco mengakui Roma bergelut dengan tahap kecergasan pemain.

"Kami cemerlang di babak pertama. Kami sedikit merudum selepas ini, secara fizikal, tetapi saya berpuas hati kerana pemain memberikan reaksi yang sepatutnya di atas kelemahan ini," kata Di Francesco.

"Ini adalah keputusan yang positif ketika menentang pasukan yang hebat. Mereka beraksi dalam dua perlawanan akhir dalam tempoh empat tahun, sedangkan kami masih membina pasukan.

"Sepanjang 50 minit, saya nampak aksi cemerlang di pihak kami, penuh karektor. Sudah tentu kami boleh meningkatkan tahap fizikal. Saya sukakan bola sepak Sepanyol, ia boleh menjadi model ikutan.

Alisson layak menerima pujian selepas membuktikan kehebatannya apabila menafikan percubaan Luciano Vietto, Saul Niguez di babak kedua dan dua percubaan Angel Correa pada minit ke-64 dan ke-83 serta tandukan Saul pada masa kecederaan.

Atletico akan menanti kunjungan Chelsea pada perlawanan seterusnya pada 27 September ini. Bagi mereka, tiada lagi ruang untuk mengulangi kesilapan ketika Roma pastinya memburu mata penuh ketika bertandang ke Azerbaijan menentang Qarabag. - AFP

636 dibaca
Berita Harian X