Rabu, 13 September 2017 | 6:36pm
PEMAIN Negeri Sembilan, Sean Eugene Selvaraj (kiri) sedia untuk memainkan peranan lebih agresif di jentera serangan. - Foto Hazreen Mohamad

Eugene tekad bawa NS ke Liga Super

SEREMBAN: Penyerang muda Negeri Sembilan, Sean Eugene Selvaraj berazam untuk membalas kepercayaan yang diberikan oleh barisan kejurulatihan dengan membantu pasukan layak Liga Super musim depan.

Dia yang dilihat sudah mula mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan, mengakui semakin yakin dengan keupayaannya untuk memainkan peranan lebih agresif di jentera serangan.

Terbaru, Eugene diturunkan selama 75 minit bergandingan dengan Lee Andrew Tuck di bahagian serangan pada pertembungan Negeri Sembilan dengan PKNP FC, dalam aksi terakhir Kumpulan A Piala Malaysia, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu lalu yang berkesudahan seri tanpa jaringan.

"Sebelum ini, saya lebih banyak beraksi sebagai pemain gantian, namun kini diberikan peranan lebih besar di barisan serangan.

"Memang ia bukan suatu tugas mudah, tapi saya sahut cabaran itu dan akan terus bekerja keras meningkatkan persembahan jika diberikan peranan sama pada perlawanan akan datang.

"Saya berharap dapat membalas kepercayaan diberikan ketua jurulatih Mohd Asri Ninggal, dalam membantu memastikan Negeri Sembilan meraih kemenangan pada tiga perlawanan terakhir Liga Perdana," katanya di sini, hari ini.

Eugene mengakui pengalamannya beraksi bersama skuad bawah 22 tahun negara (B-22) bimbingan Datuk Ong Kim Swee, banyak membantu dalam meningkatkan lagi keyakinan diri serta persembahan.

"Walaupun dalam tempoh singkat, tapi pengalaman bersama skuad B-22 tahun sememangnya sangat berharga dan banyak yang saya dapat pelajari tentang permainan bola sepak.

"Saya akan memanfaatkan pengalaman itu bagi memberikan persembahan terbaik setiap kali diberikan tanggungjawab oleh jurulatih," katanya.


SEAN Eugene Selvaraj (kanan) bersaing dengan pemain PKNP FC, Mohamad Raffi Nagoorgani (kiri) pada aksi Piala Malaysia Kumpulan A di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi. - Foto Hazreen Mohamad

Pemain berusia 21 tahun itu, yang setakat ini sudah menjaringkan satu gol ketika skuad Hobin Jang Hobin bertemu Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada aksi liga sebelum ini, berharap dapat terus meledak jaringan pada perlawanan berikutnya.

"Sasaran saya untuk membantu Negeri Sembilan layak ke Liga Super musim depan dan tiga cabaran pada perlawanan terakhir yang bakal dihadapi ini nanti bukan mudah.

"Namun, Negeri Sembilan perlu memenangi kesemua tiga perlawanan menentang PKNP FC (tempat lawan pada 19 September), diikuti UiTM FC (tempat sendiri) dan Sabah (tempat lawan), jika mahu memastikan impian berkenaan dapat direalisasikan.

"Saya dan rakan-rakan pastinya akan berjuang habis-habisan bagi mencapai impian berkenaan," katanya.

751 dibaca
Berita Harian X