Rabu, 13 September 2017 | 7:24pm
PEMAIN T-Team, Mohd Nor Hakim Hassan (kanan) tidak akan terlepas daripada tindakan disiplin selepas gagal hadir menjalani latihan bersama pasukan sebelum ini. - Foto Aswadi Alias

Nor Hakim kembali bersama T-Team

KUALA TERENGGANU: Selepas tiga minggu menghilangkan diri tanpa sebarang berita, akhirnya pemain sayap T-Team, Mohd Nor Hakim Hassan kembali ke pangkuan pasukannya.

Bekas pemain PKNS dan Terengganu itu turun menjalani latihan bersama rakan sepasukan di padang latihan Gong Badak, petang semalam.

Penolong Ketua Jurulatih, Mohd Azhari Salim mengesahkan pemain berusia 26 tahun itu sudah kembali menjalani latihan bersama pasukan.

Bagaimanapun pemain itu mungkin tidak akan terlepas daripada tindakan disiplin selepas gagal hadir menjalani latihan bersama pasukan sebelum ini.

"Salah tetap salah. Pemain yang mempunyai masalah disiplin tetap akan dipanggil bagi menilai kesalahan yang dilakukan.

"Bentuk tindakan akan dibincangkan dalam mesyuarat dalam masa terdekat dan kita akan mendengar keterangan Mohd Nor Hakim sebelum memutuskan apa tindakan yang patut diambil ke atas pemain ini," katanya.

Sabtu lalu, pengurusan T-Team dikatakan mahu mengambil tindakan tegas terhadap Mohd Nor Hakim yang menghilangkan diri tanpa sebarang berita.

Mohd Azhari berkata, Mohd Nor Hakim antara tonggak penting pasukan bimbingan Rahmad Darmawan yang kini dalam usaha kekal bersaing dalam Liga Super musim depan.

"Mohd Nor Hakim pemain yang bagus, cuma dia perlu ubah sikap dan perangai jika mahu melangkah lebih jauh," katanya.

500 dibaca
Berita Harian X