Rabu, 13 September 2017 | 10:00pm
SKUAD B-19 negara akan berdepan Myanmar pada aksi separuh akhir Kejuaraan AFF B-18 2017 di Stadium Thuwunna, Yangon, Jumaat ini. - Foto FAM

Separuh akhir Kejuaraan AFF B-18: Malaysia jumpa Myanmar

KUALA LUMPUR: Skuad bawah 19 tahun (B-19) negara akan berdepan tuan rumah, Myanmar pada aksi separuh akhir Kejuaraan AFF B-18 2017 di Stadium Thuwunna, Yangon, Jumaat ini.

Myanmar mengesahkan tempat ke separuh akhir selaku naib juara Kumpulan B selepas menewaskan Vietnam 2-1 pada aksi terakhir peringkat kumpulan itu, sebentar tadi.

Biarpun mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang kejohanan pada edisi kali ini, skuad muda negara sudah pasti berdepan tugas getir apabila Myanmar tampak memiliki sedikit kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

Skuad kendalian Bojan Hodak masih belum tewas dalam lima perlawanan peringkat kumpulan dengan mencatat empat kemenangan dan satu seri sekali gus mara bergaya selaku juara Kumpulan A.

Malah, tonggak tengah negara, Nik Akif Syahiran Nik Mat menjelaskan betapa skuad negara tidak perlu memikirkan soal siapa yang akan ditentang pada pusingan separuh akhir.

"Bagi kami, semua perlawanan sukar. Sekarang ini, tidak kira pasukan mana yang akan kita lawan di separuh akhir kerana paling penting kami perlu melakukan persiapan terbaik," katanya.

Satu lagi aksi separuh akhir yang akan berlangsung di stadium sama, Jumaat ini adalah pertemuan antara naib juara Kumpulan A, Thailand dan juara Kumpulan B, Indonesia.

Indonesia muncul juara Kumpulan B selepas membelasah Brunei 8-0 pada aksi terakhir hari ini yang menyaksikan mereka berkongsi sembilan mata dengan Myanmar.

3956 dibaca
Berita Harian X