Khamis, 14 September 2017 | 7:18am
CRISTIANO Ronaldo selepas menjaringkan gol ketika bantu Real Madrid benam APOEL Nicosia, 3-0 awal pagi tadi. - Foto Reuters

Ronaldo kembali ceriakan Real

MADRID: Cristiano Ronaldo tidak menunggu lama untuk membuktikan kepada Real Madrid apa yang mereka hilang ketika dia digantung lima aksi domestik, apabila meledak dua gol ketika membenam APOEL Nicosia, 3-0 awal pagi tadi.

Kepulangan semula Ronaldo dengan pasukan juara bertahan itu jelas langkah tepat buat Real Madrid untuk memulakan perlawanan pertama saingan Liga Juara-Juara, musim ini.

Ronaldo, digantung aksi kerana menolak pengadil selepas dibuang padang pada pusingan pertama Piala Super Sepanyol, menjaringkan gol pembukaan Madrid selepas 12 minit perlawanan - hasil hantaran bola rendah oleh Gareth Bale.

Pemain Portugal ini menggandakan jaringan menerusi sepakan penalti (minit ke-51), sebelum Sergio Ramos melengkapkan kemenangan bergaya Madrid pada minit ke-61.


CRISTIANO Ronaldo menjaringkan gol ketika bantu Real Madrid benam APOEL Nicosia, 3-0 awal pagi tadi. - Foto Reuters

Real Madrid kini melonjak ke kedudukan teratas Kumpulan H, diikuti Tottenham Hotspur, yang menang 3-1 ke atas Borussia Dortmund di Stadium Wembley.

Bos Real, Zinedine Zidane mengakui kelab itu gagal mencari pengganti kekosongan tempat ditinggalkan Alvaro Morata - dan lebih parah, Karim Benzema juga dilanda kecederaan hamstring.

Bagaimanapun, dengan Bale kini beraksi di bahagian kiri, Ronaldo mampu mengisi kekosongan itu dan ternyata dia cukup bijak membaca hantaran silang pemain Wale berkenaan untuk meledak jaringan.

Tidak lama selepas itu, Ronaldo sekali lagi mendapat peluang yang sama, hasil hantaran silang Bale tetapi percubaannya menerusi tandukan menerjah sisi gawang lawan.

Tuah jelas berpihak kepada Madrid apabila bola terkena tangan Roberto Lago - hasil tempias bola silang Bale dan Ronaldo tidak mensia-siakan peluang untuk menyempurnakan sepakan penalti.

Selepas itu, tiba giliran Ramos mencetak nama selaku penjaring melalui aksi akrobatik untuk membolehkan tuan rumah meraih tiga mata penuh. - AFP

3067 dibaca
Berita Harian X