Khamis, 14 September 2017 | 5:44pm
SETIAUSAHA Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. - Foto Owee Ah ChuN

Tetap ke Pyongyang - Hamidin

SHAH ALAM: "Kita akan bermain di sana (Pyongyang)."

Demikian tegas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang menjawab persoalan mengenai kebimbangan beberapa tonggak utama skuad Harimau Malaya yang menyuarakan kegusaran terhadap tahap keselamatan apabila berkunjung ke Pyongyang, 5 Oktober ini.

Malaysia yang sebelum ini tumpas 1-2 kepada Lubnan dan seri 1-1 dengan Hong Kong dalam dua aksi Kumpulan B Kelayakan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2019, bakal berkunjung ke Pyongyang untuk menghadapi aksi getir berdepan Korea Utara.

Sebelum ini wujud kebimbangan kemungkinan tercetusnya perang di republik itu susulan pelancaran ujian nuklear keenam yang mencetuskan kecaman global terutama dari Amerika Syarikat yang menyifatkan tindakan itu sebagai meminta-minta untuk berperang.

Lantas, ia mengundang rasa kurang selamat dalam kalangan pemain negara yang mahu FAM mengambil serius soal keselamatan mereka dengan memantau perkembangan di negara berkenaan.

"Saya sudah berhubung dengan Datuk Windsor Paul John (Setiausaha Agung AFC) dan nampaknya kita akan tetap bermain di sana mengikut arahan AFC.

"Walaupun ketika ini (ancaman perang ke atas Korea Utara) dilihat biasa, aksi Malaysia dan pasukan tuan rumah hanya akan berlangsung pada 5 Oktober depan.

"Jadi sekiranya ada faktor-faktor keselamatan, pihak AFC akan maklumkan kepada kita dan mungkin tindakan baharu akan dilakukan.

"AFC sendiri sudah membuat pemantauan berdasarkan aksi ketika perlawanan antara Lubnan dan Korea Utara, dan rasanya kita boleh bermain di sana.

"Malah, kita juga turut membuat persiapan lain yang akan diumumkan nanti dengan Tunku Presiden (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) juga sudah bersetuju," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menerusi laporan sebelum ini, AFC tetap dengan pendirian untuk meneruskan aksi di Pyongyang walaupun ketika ini wujud kegusaran kemungkinan tercetusnya perang di negara Asia Timur itu.

Bagaimanapun, AFC akan memantau dari semasa ke semasa perkembangan politik di negara berkenaan.

Pada Mei lalu, AFC terpaksa menunda buat kali kedua pertemuan kedua-dua pasukan selepas melakukannya pada 28 Mac lalu, susulan ketegangan hubungan diplomatik apabila abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu.

Berita Harian X