Khamis, 14 September 2017 | 8:22pm
TIMBALAN Presiden Kuantan FA, Datuk Wan Solihi Wan Hassan. - Foto Asrol Awang

Kuantan FA terkilan

KUANTAN: Persatuan Bola Sepak Daerah Kuantan (Kuantan FA) terkilan dengan sikap Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) yang tidak mendapatkan penjelasan terlebih dahulu berhubung tunggakan gaji membabitkan pemain skuad berkenaan.

Timbalan Presiden Kuantan FA, Datuk Wan Solihi Wan Hassan berkata, sepatutnya PFAM perlu mendapatkan penjelasan daripada pengurusan sebelum membuat sebarang kenyataan.

Katanya, setakat ini, PFAM belum bersemuka dan berbincang dengan persatuan itu bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung masalah dihadapi pasukan Liga Perdana berkenaan.

"Sebenarnya tunggakan yang dikatakan 11 bulan itu tidak tepat, sebaliknya ia hanya membabitkan tunggakan antara tiga hingga tujuh bulan setengah.

"Kami akui berlaku tunggakan gaji seperti yang dilaporkan tetapi ia tidak sampai 11 bulan dan pemain bukannya tidak menerima sebarang pembayaran kerana mereka turut diberikan wang pendahuluan.

"Tidak timbul pemain tidak dapat menyambut hari raya kerana pemain diberikan separuh daripada gaji mereka sebelum sambutan hari raya lalu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Wan Solihi yang juga pengurus pasukan berkata, pihaknya sedang berusaha melunaskan bayaran gaji yang tertunggak dan akan menjelaskan bayaran dua bulan yang tertunggak terlebih dahulu.

Katanya, Kuantan FA akan berusaha menjelaskan baki tunggakan itu sebelum musim ini berakhir.

"Kita tidak pernah mengabaikan kebajikan pemain dan sedaya upaya untuk membayar gaji pemain kerana tahu keadaan mereka jika tidak menerima gaji," katanya.

Isnin lalu, masalah gaji pemain Kuantan FA menjadi viral di media sosial apabila didakwa gagal melunaskan 11 bulan gaji.

Berita Harian X