Khamis, 14 September 2017 | 11:20pm
GAMBAR fail diambil pada 21 Januari, penyerang Argentina, Carlos Tevez pada sesi latihan pertamanya dengan kelab baharunya, Shanghai Shenhua di Shanghai. - Foto AFP

Shanghai Shensua tak senarai Tevez kerana 'gemuk'

LONDON: Penyerang Argentina, Carlos Tevez mengalami 'berat badan berlebihan' dan tidak akan disenaraikan dalam skuad Shanghai Shenhua sehingga dia cergas sepenuhnya, kata pengurus kelab itu Wu Jingui.

Tevez, 33, kembali ke China selepas dua minggu berada di Argentina bagi proses pemulihan daripada kecederaan otot.

Wu turut mengkritik tahap kecergasan pemain tengah Fredy Guarin dalam temu bual dengan akhbar South China Morning Post.

"Saya tidak akan menyenaraikannya sekarang, dia (Tevez) tidak bersedia secara fizikal. Dia tidak cergas untuk bermain," kata Wu.

"Dia mempunyai berat badan berlebihan, begitu juga dengan Guarin. Saya bertanggungjawab terhadap pasukan dan pemain.

"Jika anda tidak mampu memberikan yang terbaik ketika beraksi, tiada guna untuk memilih anda. Saya sudah melatih ramai bintang besar dan pemain, saya tidak pernah hanya melihat kepada reputasi."

Tevez bergelut untuk mendapatkan sentuhan terbaik dalam Liga Super China dan hanya menjaringkan dua gol dalam 12 penampilan.

"Saya sudah bercakap dengan dia (Tevez) hari ini mengenai taktikal, tetapi saya tidak akan membenarkan dia bermain buat masa ini, dia tidak bersedia secara fizikal," tambah Wu. - REUTERS

2878 dibaca
Berita Harian X