Jumaat, 15 September 2017 | 3:57pm
PEMAIN Swansea City, Alfie Mawson dan Martin Olsson ketika beraksi menentang Newcastle United. Swansea bakal turun menentang Tottenham Hotspur di Stadium Wembley, esok. - Foto REUTERS

Swansea tekad kekalkan badi Spurs di Wembley

LONDON: Beraksi di Stadium Wembley boleh dijadikan inspirasi kepada Swansea City untuk memperbaiki buruk rekod mereka menentang Tottenham Hotspur, kata pengurus, Paul Clement.

Swansea tewas 10 daripada 12 aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Tottenham dan kali terakhir mereka menumbangkan kelab dari London itu ialah pada saingan Piala Liga 1991.

Walaupun mereka tunduk 0-1 kepada Newcastle United hujung minggu lalu dan hanya meraih empat mata musim ini, Clement menegaskan Swansea mempunyai alasan kukuh untuk meraih kemenangan menjelang aksi menentang Tottenham, esok.

"Saya fikir, pertembungan ini membuatkan kami teruja. Kami akan ke stadium nasional England untuk beraksi di depan penonton yang menakjubkan dan menentang satu daripada pasukan terbaik di negara ini," kata Clement kepada laman sesawang rasmi kelab, www.swanseacity.com.

"Kami pernah beraksi jauh dari laman sendiri, menentang pasukan yang bagus, beraksi baik dan meraih mata penting. Jadi, tiada alasan kenapa kami tidak boleh melakukan perkara sama pada Sabtu ini (esok).

Swansea mengekalkan rekod bersih di tempat lawan, selepas menang ke atas Crystal Palace dan seri di Southampton.

Clement berkata, pasukannya perlu meningkatkan prestasi sama ketika beraksi di laman sendiri selepas kelab menyelesaikan urusan pembelian pemain baharu.

Setakat ini, kelab mendapatkan Renato Sanches secara pinjaman dari Bayern Munich dan penyerang, Wilfried Bony juga kembali bersama pasukan dari Manchester City.

"Beberapa pemain baharu akan datang. Ia akan mengambil sedikit masa untuk untuk menyelaraskan pasukan dan itulah yang sedang berlaku.

"Saya mempunyai perasaan yang cukup bagus ke atas pasukan ini dan kami akan menjadi lebih kuat," katanya.

Tottenham kini berada di tangga kelima liga - selepas meraih tujuh mata daripada empat perlawanan termasuk aksi terakhir dengan kemenangan 3-0 ke atas Everton. - Reuters

159 dibaca
Berita Harian X